SYARIKAT keselamatan Aetos telah membina pusat arahan bersepadu yang boleh memantau semua aspek operasi bangunan untuk pelanggannya.

Pusat itu menggabungkan tiga fungsi utama untuk menguruskan bangunan: operasi kawalan dengan menggunakan kamera bagi memantau kegiatan mencurigakan, aspek keselamatan, seperti memastikan lif dan pemadam api berfungsi, dan penggunaan air dan elektrik demi memastikan elektrik dan utiliti berfungsi secara optimum - dikenali sebagai pengurusan fasiliti bersepadu (FM).

Pusat itu disebut sebagai antara yang pertama di Singapura yang dapat memantau keselamatan bersepadu dan fungsi FM, lapor The Straits Times.

Pusat itu dilancarkan semalam oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee dan pengarah eksekutif Aetos Holdings, Encik Alfred Fox, di kompleks syarikat itu di Corporation Drive.

Dalam ucapannya pada pelancaran itu, Encik Lee memuji syarikat itu atas usahanya dan melahirkan harapan agar lebih banyak syarikat akan menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau juga berkata pemilik bangunan dan pemaju boleh memanfaatkan geran $30 juta untuk membantu membiayai perbelanjaan teknologi sebagai sebahagian daripada FM mereka serta untuk kos pengubahsuaian.

Geran itu diumumkan di Parlimen minggu lalu.

"Firma boleh menjadi lebih cekap dan produktif dengan menguruskan perkhidmatan FM berbeza pada satu platform bersepadu.

"Mereka juga boleh membantu meningkatkan kemampanan dengan mengurangkan permintaan untuk sumber seperti elektrik dan air," katanya.

Geran itu akan disediakan mulai separuh kedua 2022 untuk tempoh tiga tahun. Ia akan menyokong sekitar 10 hingga 15 projek, dengan sekurang-kurangnya tiga bangunan untuk setiap projek.

Untuk layak menerima geran, pemilik bangunan mesti mengolah semula amalan dan proses perolehan mereka supaya menyepadukan sekurang-kurangnya tiga perkhidmatan FM dalam sekurang-kurangnya tiga bangunan dalam portfolio mereka.

Encik Lee turut menyatakan bahawa kebanyakan agensi pemerintah, termasuk Jurong Town Corporation (JTC) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah pun melaksanakan FM di bangunan mereka.

Pusat baru Aetos dikendalikan oleh 10 orang pada satu-satu masa. Syarikat itu enggan mendedahkan kos pembinaan pusat itu dan bilangan pelanggannya yang menerima khidmat tersebut.

Pusat itu dibangunkan bersama pasukan pengurusan kemudahan Surbana Jurong, yang mana Aetos juga merupakan anggotanya.

Syarikat di belakang perisian pusat itu termasuk Singtel, yang menyediakan rangkaian 5G, dan Vizzio Technologies, yang menawarkan ilustrasi 3D.

"Firma boleh menjadi lebih cekap dan produktif dengan menguruskan perkhidmatan FM (pengurusan fasiliti bersepadu) berbeza pada satu platform bersepadu.

Mereka juga boleh membantu meningkatkan kemampanan dengan mengurangkan permintaan untuk sumber seperti elektrik dan air." - Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.