Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AGC akan kaji kes amah tidak bersalah dalam tuduhan curi

Sep 6, 2020 | 8:43 PM
(Dari kiri) Cik Parti Liyani, Encik Liew Mun Leong dan anak lelaki Encik Liew, Encik Karl Liew.
(Dari kiri) Cik Parti Liyani, Encik Liew Mun Leong dan anak lelaki Encik Liew, Encik Karl Liew. - FAIL ST

PEJABAT Peguam Negara (AGC) akan mengkaji pengadilan Mahkamah Tinggi oleh Hakim Chan Seng Onn, menyusuli pembebasan seorang bekas pembantu rumah daripada tuduhan mencuri daripada ketua Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong dan keluarganya. Ini bagi menilai apa tindakan lanjut, jika ada, yang harus diambil dalam kes itu, kata AGC dalam satu kenyataan pada Ahad (6 September). "Penemuannya menimbulkan persoalan yang memerlukan penyelidikan lebih lanjut," tambahnya. Cik Parti Liyani, 46 tahun, dituduh mencuri barangan bernilai lebih $34,000 daripada keluarga Liew ketika bekerja untuk mereka. Selepas perbicaraan, beliau didapati bersalah atas empat tuduhan mencuri dan dihukum penjara dua tahun dan dua bulan pada Mac tahun lalu. Beliau kemudian membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya. Hasil rayuan itu, beliau dibebaskan pada Jumaat (4 September). Peguam Cik Parti, Encik Anil Balchandani, berkata beliau akan membuat permohonan bayaran ganti rugi daripada keluarga Liew yang akan berkait besar dengan gajinya selama empat tahun, iaitu sebanyak $600 sebulan. Cik Parti bekerja untuk keluarga itu dari 2007 hingga 2016. Menurut AGC, dalam membuat keputusannya, salah satu penemuan Hakim Chan adalah terdapat sebab untuk percaya bahawa keluarga Liew bertindak menghentikan pekerjaan pembantu rumah itu secara tiba-tiba dan tanpa memberinya masa yang cukup untuk berkemas. Ini supaya Cik Parti tiada waktu untuk membuat aduan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang tugas yang dilakukan secara tidak sah kepada anak lelaki Encik Liew, iaitu Encik Karl Liew. Hakim Chan mendapati apabila Cik Parti mengancam akan mengadu kepada MOM setelah pemberhentian mengejutnya, Encik Liew dan Encik Karl Liew membuat laporan polis untuk menghalangnya pulang ke Singapura dan membuat aduan kepada kementerian itu. Hakim Chan juga tidak percaya bukti beberapa anggota keluarga Liew mengenai pelbagai isu, tambah AGC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg