Topic followed successfully
Go to BHkuAgih 400 mangkuk mi sup udang pada pekerja kesihatan
Agih 400 mangkuk mi sup udang pada pekerja kesihatan
Agih 400 mangkuk mi sup udang pada pekerja kesihatan
MEMBERI itu lebih baik daripada menerima.
Itulah prinsip yang dipegang Encik Muhamad Asri Ramli, 42 tahun, dalam mengendalikan perniagaannya, gerai mi sup udang popular Deanna's Kitchen.
Beliau dan isteri Cik Denise Deanna Chew, 38 tahun, percaya bagi setiap bantuan yang dihulurkan untuk meringankan beban orang lain atau menggembirakan orang lain, rezeki akan datang berlipat ganda.
Semasa tempoh pemutus litar, pasangan itu telah mengagihkan lebih 400 mangkuk mi sup udang kepada para pekerja kesihatan dengan sebahagiannya merupakan derma daripada orang ramai yang sama-sama mahu turut serta dalam usaha murni mereka itu.
Mi sup udang itu telah diagihkan kepada pekerja barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu negara memerangi koronavirus yang melanda dunia.
Ini termasuk pekerja kesihatan di polikli nik Bedok, Hospital Besar Changi, Hospital Besar Sengkang, Hospital Khoo Teck Phuat, Hospital Kanak-Kanak dan Wanita KK (KKH), Hospital Tan Tock Seng dan Hospital Besar Singapura (SGH).
Tetapi lebih daripada itu, tujuan mengagihkan mi sup udang itu adalah untuk menghargai usaha yang dilakukan para pekerja kesihatan terutama semasa pandemik ini.
"Kami terkesan apabila membaca di akhbar tentang pekerja kesihatan yang ada kalanya ketika itu, dipulaukan masyarakat yang takut dijangkiti virus daripada pekerja tersebut. Ada pula pekerja kesihatan yang bekerja berhempas pulas setiap masa apabila bilangan mereka yang dijangkiti virus tinggi di Singapura ketika itu. Justeru sekadar untuk menggembirakan mereka dan mengucapkan tahniah atas kerja keras mereka di barisan hadapan, terlintas dalam fikiran kami untuk mahu memberi makanan percuma kepada mereka," ujar Encik Asri.
Di samping itu, pasangan itu turut mengambil sekitar lapan pemandu kereta privet yang mempunyai kereta sendiri untuk bekerja sebagai pegawai penghantaran peribadi mereka.
Menurutnya mujur sebelum berlakunya pemutus litar, pihaknya telah menubuhkan laman memesan makanan dalam talian sendiri dan ini yang menampung perniagaan mereka sepanjang tempoh tersebut.
Memandangkan ada pemandu yang mengadu tiada pelanggan ketika itu kerana ramai yang perlu duduk di rumah dan bekerja dari rumah, Encik Asri telah menggajikan mereka sebagai penghantar makanan selama dua bulan.
"Kami agak prihatin tentang nasib mereka yang mengharapkan penumpang sebagai sumber pendapatan.
"Jadi kami terfikir, mengapa tidak menggajikan mereka sebagai pegawai penghantar kami, mentelah lagi kami mempunyai banyak pesanan menghantar ke rumah semasa tempoh pemutus litar itu," katanya lagi.
Di samping itu, pasangan ini turut bergabung dengan syarikat Academy of Rock untuk mengagihkan 100 mangkuk mi udang secara percuma di setiap gerai mereka.
Secara keseluruhan, Deanna's Kitchen boleh didapati di tiga gerai berbeza iaitu di Chai Chee, Toa Payoh dan Jurong.
Menurutnya, makanan percuma itu bagi mereka yang benar-benar memerlukan makanan, sekiranya keluarga mereka menghadapi masalah kesempitan wang untuk membeli makanan.
Namun beliau agak terkejut melihat respon yang amat bertanggungjawab daripada para pelanggannya dengan tiada yang cuba untuk mengambil kesempatan daripada situasi tersebut.
"Kami agak terkejut di salah satu gerai, mereka yang beratur untuk membeli mi sup udang adalah lebih panjang daripada mereka yang datang untuk mengambilnya secara percuma. Malah ada juga pelanggan yang ingin sama-sama menderma menaja mi sup udang bagi mereka yang memerlukan.
"Kami amat terharu dapat memberikan platform tersebut kepada masyarakat yang ingin sama-sama membantu warga lain yang dalam kesusahan," katanya mengimbas kembali keadaan itu.
Menjadi jambatan bagi masyarakat untuk menghulurkan bantuan dilanjutkan apabila Encik Asri turut mempunyai hubungan baik dengan beberapa pekerja asing di sini.
Menurutnya, ada kala para pekerja asing akan bertanyakan sekiranya beliau tahu sesiapa yang ingin menaja peralatan rumah atau barang-barang dapur.
"Selalunya apabila kami menulisnya di akaun media sosial kami, sambutannya amat memberangsangkan apabila para pekerja asing meminta jika ada sesiapa yang ingin menderma baju, periuk nasi dan rempah-ratus buat mereka. Para pelanggan akan kemudian menghantar barang-barang itu ke gerai kami," katanya lagi.
Meskipun Singapura telah memasuki fasa ketiga sekarang, Encik Asri akur keadaan pandemik ketika ini masih tidak menentu dengan adanya gelombang baru di negara lain.
Ditanya sekiranya beliau akan melakukan apa yang telah beliau lakukan sekali lagi sekiranya keadaan mendesak berlaku lagi di Singapura, dengan pantas Encik Asri berkata:
"Sudah tentu. Dengan setiap pemberian itu tidak akan menjadikan kita miskin. Malah rezeki ada kalanya berlimpah ruah bukan sahaja daripad*a segi kewangan tetapi dalam aspek lain juga.
"Demi membantu masyarakat yang memerlukan, sebagai rakyat Singapura, kami sedia menghulurkan bantuan seberapa daya yang mungkin."

