SEORANG anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) telah memasuki tandas wanita di sebuah unit polis ketika seorang pegawai polis wanita sedang mandi.

Jonathan Chua Wei Cong, 26 tahun, kemudian meletakkan telefon bimbit di bahagian atas pintu tandas tersebut.

Dalam pembelaannya, Chua mendakwa beliau dirasuk 'roh'.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Tan Zhi Hao, memberitahu Hakim Daerah, Cik Brenda Tan, bahawa pembelaan tersebut adalah meragukan sambil menambah:

"Beliau akui telah masuk tandas wanita 'kerana rasukan roh', tetapi tidak ingat butiran dan tidak tahu apa yang terjadi kerana fikirannya 'kosong' pada masa itu."

Selepas perbicaraan pada Selasa, Hakim Tan mensabitkan Chua atas tuduhan pencerobohan jenayah dan menghina kehormatan seorang wanita.

Butir-butir mengenai polis wanita, yang berusia 30 tahun pada waktu itu, dan unit beliau bertugas tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa.

Dalam hujahnya, DPP Tan berkata Chua dan dua rakan lelaki dari kursus yang sama, telah tamat kelas mereka sekitar selepas 4.30 petang pada 12 Mac 2019. Mereka bertiga kemudian menuju ke tandas lelaki. Untuk ke tandas lelaki, mereka harus melalui tandas wanita.

Menurut dua rakannya, mereka meninggalkan tandas lelaki dahulu, dan Chua mengekori mereka antara 30 saat dengan tiga minit kemudian.

"Tertuduh dibiarkan bersendirian dan tidak dijaga sepanjang tempoh ini," kata DPP Tan.

Semasa perbicaraan, mangsa memberi keterangan bahawa beliau sedang mandi sekitar 4.45 petang apabila mendengar pintu tandas utama dibuka 10 minit kemudian. DPP Tan berkata:

"Sekitar lima hingga 10 saat kemudian, dia berpaling dan ternampak ada telefon bimbit di atas sebelah kanan pintu tersebut.

"Mangsa terpaku pada awalnya, sebelum dia memberi tindak balas dengan menjerit 'oi' dengan kuat. Dia melihat telefon bergerak lalu hilang dari penglihatan. Dia kemudian mendengar pintu tandas utama dibuka, sebelum dia mendengar pintu tersebut ditutup."

Pendakwa memberitahu mahkamah bahawa polis wanita itu mengambil masa kurang lima minit untuk mengeringkan diri dan memakai pakaiannya sebelum meninggalkan tandas itu.

Mangsa tidak melihat penceroboh itu kerana dia telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Polis wanita itu melaporkan kejadian tersebut kepada pegawai atasan dan memberikan butir-butir telefon yang dilihat. Dia membuat laporan polis petang itu. DPP Tan berkata:

"Mangsa menyatakan bahawa apabila beliau melihat telefon itu menuding ke arahnya, beliau terperanjat dan berasa 'hina'... Beliau menangis teresak-esak apabila diminta mengimbas kembali perasaannya."

Pendakwa juga memberitahu mahkamah bahawa Chua adalah satu-satunya pegawai yang memasuki tandas wanita semasa mangsa mandi. DPP Tan memberitahu mahkamah:

"Bukti itu menyimpulkan bahawa tertuduh telah menceroboh, meletakkan telefon bimbit di atas pintu tandas dan menyasar telefon bimbitnya ke arah mangsa."

Chua sebelum itu mendakwa dia secara tidak sengaja telah membuka pintu utama tandas wanita pada hari itu tetapi tidak memasuki tandas tersebut.

Beliau juga menafikan menceroboh dan mendakwa tidak ada sesiapa yang mandi di situ apabila dia membuka pintu tandas wanita.

Rayuan dan hukuman terhadap Chua dijangka berlangsung pada 22 Mac.