ANGGOTA Parlimen (AP) yang menghadiri sidang Parlimen sejak kelmarin perlu menjalani ujian sendiri bagi Covid-19 sebelum sesi bermula sebagai sebahagian daripada satu rejim baru.

Menerusi laman Facebook beliau, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin berkata beliau telah meminta AP menjalankan Ujian Pantas Antigen (ART) sendiri sebelum sidang Parlimen bermula.

Encik Tan turut berkongsi video menunjukkan bagaimana ujian itu boleh dijalankan sendiri serta gambar beberapa AP beratur dalam bangunan Parlimen, dengan pondok sementara ditubuhkan bagi mereka menjalankan ujian itu sendiri dengan penyeliaan.

Menerusi satu jawapan bertulis kepada soalan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Tan Yia Swam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata AP harus menjalani ujian pantas dan mudah sendiri sebelum setiap sidang Parlimen.

Tambahnya, ini adalah untuk menunjukkan contoh yang baik, dengan pihak berkuasa menggalak lebih ramai orang menjalankan ujian sendiri.

Dr Tan, yang juga seorang pakar bedah, bertanya sama ada ujian rutin berjadual (RRT) boleh dilaksana bagi AP yang berkunjung ke rumah penduduk, mengadakan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) secara fizikal dan menghadiri sidang Parlimen.

Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) akur bahawa AP bertemu dengan ramai penduduk dan beliau telah berbincang hal itu dengan Encik Tan.

Menarik perhatian bahawa RRT adalah wajib bagi golongan tertentu seperti pekerja di barisan hadapan dan pekerja yang tinggal di dormitori, Encik Ong berkata:

"Kami menggalak semua warga Singapura untuk menjalani ujian sendiri dengan kerap secara sukarela sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka bagi memastikan keselamatan Singapura serta melindungi diri mereka dan orang yang mereka cintai."

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti