COLIN Schooling - bapa kepada satu-satunya juara Sukan Olimpik Singapura, Joseph Schooling - meninggal dunia semalam pada usia 73 tahun.

Sejak beberapa bulan lalu, bekas pemain bola lisut nasional dan peniaga yang sudah bersara itu menjalani rawatan selepas didiagnos menghidapi barah hati Jun lalu.

Bapa saudara beliau, Lloyd Valberg, iaitu warga Singapura pertama bertanding dalam Sukan Olimpik mewakili Malaya dalam acara lompat tinggi di London pada 1948, dan mendiang Colin merupakan atlet berbakat dalam pelbagai sukan.

Mendiang Colin, yang mendapat pendidikan di Raffles Institution, terlibat dalam sukan lompat pagar dan polo air sebelum menjadi pemain bola lisut nasional.

Pada 1983, beliau mendirikan rumah tangga dengan Cik May Yim.

Kali pertama mereka bertemu adalah di pertandingan bola lisut Pesta Sukan di Pulau Pinang pada 1960-an apabila Cik May merupakan anggota pasukan Perak dan beliau mewakili Singapura dalam pasukan Pirates.

Cik May mengalami keguguran sebanyak tiga kali sebelum melahirkan Joseph pada 1995.

Mendiang Colin dan Cik May sama-sama berusaha gigih membantu Joseph mencapai potensinya dalam sukan renang dan merealisasikan impiannya menjadi juara Sukan Olimpik selepas anak mereka itu menunjukkan kebolehan dan keinginan bersaing dalam sukan tersebut.

Selain membelanjakan lebih $1 juta - mereka menjual rumah di Perth dan menukar pelan endowmen menjadi wang tunai - untuk membiayai latihan Joseph di Amerika Syarikat, mendiang Colin juga mencipta peralatan renang yang mungkin akan menjadi kebanggaan dalam Muzium Sukan Singapura.

Dalam satu catatan Instagram semalam, Cik May berkata:

"Sukar untuk mengatakan selamat tinggal, oleh itu mari kita mulakan dengan 'jumpa anda sekali lagi'.

"Seorang bapa yang penyayang, seorang abang yang memberikan sokongan, seorang bapa saudara yang peramah, seorang rakan yang setia, suami saya.

"Colin mempunyai keistimewaan tersendiri. Semua yang kenal beliau secara peribadi akan tahu apa yang saya katakan. Beliau bertutur secara bebas dan dengan penuh semangat, dan itu satu perkara yang saya akan rindukan tentang beliau.

"Beliau akan dirindui tetapi mari kita raikan kebebasannya daripada kesakitan dan penderitaan... Sememangnya, beliau seorang pejuang yang tegas."