Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bar logam jatuh cederakan kanak-kanak, polis cari saksi

Dec 27, 2024 | 4:30 PM
Bar logam berbentuk ‘U’ yang jatuh menyebabkan seorang kanak-kanak luka di kepala semasa di taman permainan di estet Sengkang.
Bar logam berbentuk ‘U’ yang jatuh menyebabkan seorang kanak-kanak luka di kepala semasa di taman permainan di estet Sengkang. - Foto ST

Polis sedang menyiasat kes seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang cedera di kepala selepas sebatang besi berbentuk ‘U’ jatuh di kawasan taman permainan kejiranannya di Sengkang.

Ibu kanak-kanak itu, Cik Reena Ng, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa beliau telah membawa tiga anaknya – berusia dua, empat dan enam tahun – ke taman permainan itu di kawasan antara Blok 172D dengan Blok 173A di Sengkang East Drive pada 10 pagi, pada 24 Disember.

Anak bongsunya itu berada di sebelahnya pada kira-kira 11 pagi, ketika anggota keluarganya bersiap untuk pulang ke rumah, apabila mereka terdengar “bunyi yang kuat”, kata pengurus berusia 32 tahun itu.

“Saat berikutnya dia menangis dan berdarah di kepalanya,” kata Cik Ng.

Beliau menelefon suaminya dan memanggil ambulans.

Kecederaan akibat besi sepanjang 10 sentimeter itu menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami luka di kepala yang terpaksa ditutup dengan pelekat tisu.

Walaupun anaknya berasa sihat dan kembali ke sekolah pada 27 Disember, Cik Ng berkata beliau masih terkesan akibat insiden itu.

“Saya amat takut namun saya tidak akan berhenti membawa anak ke taman permainan hanya kerana kejadian itu, cuma mungkin bukan taman permainan itu,” kata Cik Ng,

Hanya keluarganya berada di taman permainan berkenaan pada masa itu, maka beliau tidak tahu apa yang berlaku, tambah Cik Ng.

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 11.15 pagi, 24 Disember.

Menjawab pertanyaan daripada ST, jurucakap Majlis Bandaran Sengkang berkata tiada kontraktor yang dilantik oleh majlis bandaran yang bekerja di kawasan tersebut semasa hari kejadian.

Ini menepis sebarang keraguan berkaitan kecuaian pada kerja penyelenggaraan.

Majlis bandaran sedang menjalankan siasatannya sendiri dan “bekerjasama sepenuhnya untuk berkongsi penemuannya” dengan polis.

Jurucakap itu berkata: “Kami berharap penduduk kami yang terjejas pulih dengan lancar, dan kami juga menggalakkan mana-mana saksi untuk tampil, kerana bantuan mereka boleh menjadi maklumat penting dalam memahami apa yang berlaku.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg