Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekalan ayam SG stabil, lebih banyak ayam sejuk dan beku akan disediakan
Bekalan ayam SG stabil, lebih banyak ayam sejuk dan beku akan disediakan
BEKALAN ayam di Singapura adalah stabil dan rakyat boleh menjangkakan lebih banyak ayam sejuk dari Australia dan Thailand, serta ayam beku dari Brazil dan Amerika Syarikat dibawa masuk dalam beberapa minggu mendatang.
Memberikan perkembangan terkini, Menteri Negara (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan berkata, bekalan ayam mantap meskipun Malaysia melaksanakan larangan eksport ayam berkuat kuasa sejak Rabu lalu.
Singapura mengimport sepertiga daripada bekalan ayamnya dari Malaysia.
Encik Tan memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa terdapat bekalan ayam yang mencukupi untuk semua jika kita membuat pembelian ayam seperti biasa.
Beliau yang dilihat dalam rakaman video mengadakan lawatan ke pasar raya menjelaskan bekalan ayam tempatan stabil, menyusuli lawatan ke beberapa pasar raya pagi semalam.
"Sudah masuk beberapa hari sejak Malaysia menggantung eksport ayam tetapi bekalan ayam di Singapura kekal stabil.
"Pasar raya kita mempunyai kepelbagaian ayam yang luas termasuk ayam seekor, bahagian ayam dan ayam proses.
"Kami telah bekerja rapat dengan industri untuk mengimport ayam sejuk dari sumber alternatif selain dari Malaysia.
"Rakyat Singapura boleh menjangkakan lebih banyak bekalan ayam sejuk dari Australia dan Thailand serta ayam beku dari Brazil dan Amerika Syarikat dalam beberapa minggu mendatang," katanya.
Encik Tan akur Singapura akan terus berdepan dengan gangguan bekalan makanan dari masa ke semasa.
"Kita mungkin tidak dapat mengatasi gangguan ini dengan sepenuhnya tetapi saya yakin yang kita dapat harungi gangguan sekali-sekala ini dengan bekerjasama rapat," tambah Encik Tan.