SEORANG bekas pensyarah telah mengaku bersalah hari ini (15 Jun) kerana mengambil video 'upskirt' pelajar di sekolah pos-menengah di mana dia bekerja tahun lalu.
Lelaki berusia 39 tahun itu dan mangsanya tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti mangsanya itu.
Pada 6 Mac 2019, lelaki itu menyuruh pelajarnya berjumpa di bilik darjah. Mahkamah diberi tahu itu kali pertama dia menyuruh wanita itu berjumpa di luar waktu kelas.
Setelah berbual buat seketika, lelaki itu menyuruh wanita tersebut membantunya bagi aktiviti kelas dengan menjadi model.
Dia berkata dia akan menggunakan telefon bimbit untuk mengambil beberapa gambar wanita itu, yang akan dijadikan bahan arahan bagi aktiviti kelas tersebut, lapor The Straits Times.
Apabila wanita itu bersetuju, lelaki itu menyuruhnya menutup matanya menggunakan sapu tangan dan berdiri dengan kakinya direnggangkan.
Timbalan Pendakwa Raya Derek Ee berkata pelajar itu merasa tidak selesa dengan arahan itu tetapi tidak menyoal pensyarahnya.
Setelah beliau menutup mata, lelaki itu mengambil gambar dari belakang punggungnya. Dia kemudian menghampirinya, meletakkan telefonnya di antara kakinya dan merakam video.
Merasa tidak selesa, pelajar itu kemudian membuka sapu tangan tersebut.
"Yang mengejutkan, beliau melihat tertuduh berjongkok tepat di belakangnya, memegang telefon bimbitnya di antara kakinya, dengan layar menghadap ke atas," kata DPP Ee.
Hakim Daerah Adam Nakhoda menangguhkan hukuman lelaki itu. Bagi kesalahan tersebut, dia boleh dipenjara hingga satu tahun dan didenda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg