SERAMAI 1,164 pesakit telah dibenar pulang sehingga Khamis (14 Mei), iaitu satu lagi rekod harian baru, walaupun sejumlah 752 kes baru Covid-19 dilaporkan.
Ini merupakan kali ketiga dalam minggu ini di mana jumlah kes yang dibenar pulang mengatasi pesakit baru.
Kes baru terdiri daripada seorang warga Singapura, seorang Penduduk Tetap (PR), dan seramai 750 pekerja asing yang tinggal di asrama, kata Kementerian Kesihatan (MOH) malam ini.
Ini membawa jumlah keseluruhan kes jangkitan di Singapura kepada 26,098.
Dalam pada itu, MOH mengumumkan satu kelompok baru ditemui di 2 Perumal Road.
Dengan jumlah pesakit yang dibenarkan pulang hari ini, seramai 5,973 pesakit kini telah pulih sepenuhnya sejak kes pertama virus itu dilaporkan di sini pada 23 Januari.
Jumlah purata bagi kes harian baru di luar asrama telah merosot.
Bagi kes melibatkan warga Singapura, PR dan pemegang pas jangka panjang, jumlah ini telah merosot daripada lapan kes sehari kepada enam kes sehari minggu lalu, berbanding minggu sebelumnya.
Bagi kes melibatkan pemegang permit kerja di luar asrama, ia telah merosot daripada enam kes sehari kepada tiga kes sehari dalam tempoh sama.
Jumlah kes yang tidak berkait di kalangan warga Singapura, PR dan pemegang pas jangka panjang juga telah merosot daripada tiga kes kepada dua kes dalam tempoh sama.
Daripada kes baru hari ini, hanya satu peratus yang tidak berkait.
Sehingga Khamis, 21 pesakit di Singapura telah maut akibat koronavirus. Lagi sembilan orang yang didapati dijangkiti Covid-19 pula meninggal dunia kerana punca lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg