SEMUA produk tembakau di Singapura akan dijual dalam bungkusan standard mulai Rabu (1 Julai). Bungkusan itu akan menyertakan amaran kesihatan grafik yang diperbesar, dan akan digunakan untuk semua produk tembakau, termasuk rokok biasa, rokok gulung dan cerut, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (29 Jun). Langkah bungkusan itu, yang pertama kali diumumkan pada 31 Oktober 2018, adalah sebahagian daripada pendekatan pelbagai cabang yang ditujukan terutamanya untuk mencegah orang-orang yang tidak merokok daripada mula merokok, menggalak perokok berhenti merokok, dan mendorong warga Singapura untuk menjalani gaya hidup bebas tembakau, yang akhirnya akan menyebabkan penurunan kadar merokok, kata MOH. Sebagai sebahagian daripada peraturan baru yang berkuatkuasa mulai Rabu, semua logo, warna, gambar dan maklumat promosi pada bungkusan produk tembakau harus dihapuskan. Amaran kesihatan grafik wajib pada produk tersebut juga mesti meliputi sekurang-kurangnya 75 peratus permukaan, naik dari 50 peratus kini. Semua produk tembakau yang diimport, diedarkan, dijual, ditawarkan untuk dijual atau dimiliki untuk dijual di Singapura mesti mematuhi peraturan bungkusan baru. Pesalah kali pertama yang tidak mematuhi peraturan itu boleh didenda hingga $10,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya. Mereka yang mempunyai sabitan kesalahan terdahulu bagaimanapun akan menghadapi hukuman lebih berat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg