Topik diikuti
Pergi ke BHkuCawangan Apple 'terapung' yang pertama di dunia bakal dibuka di Marina Bay Sands
Cawangan Apple 'terapung' yang pertama di dunia bakal dibuka di Marina Bay Sands
SYARIKAT teknologi Apple akan membuka cawangan ketiga di Singapura di Marina Bay Sands (MBS), walaupun di tengah-tengah kegawatan ekonomi dalam suasana pandemik Covid-19 yang menjejas sektor runcit dan pelancongan.
Apple mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan semalam dan berkata cawangan itu akan dibuka tidak lama lagi, namun tidak menentukan tarikh.
Cawangan baru itu terletak dalam struktur berbentuk kubah di atas air di kawasan MBS yang sebelum ini merupakan kelab malam Avalon yang dibuka dari 2011 hingga 2016.
"Apple Marina Bay Sands akan tiba di Singapura tidak lama lagi, dan kita akan menyambut pembukaan cawangan Apple pertama di dunia yang terletak di atas air," menurut jurucakap Apple.
"Seperti kedai Apple seluruh dunia, Apple Marina Bay Sands akan mengetengahkan kepada pelanggan produk terbaik Apple, di lokasi ikonik di Singapura. Kami tak sabar untuk bertemu anda semua!"
Pengumuman itu menyusuli laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa Apple akan membuka dua lagi cawangan di Singapura di Jewel Lapangan Terbang Changi dan MBS.
Cawangan di Jewel dibuka secara rasmi Julai lalu.
Cawangan pertama Apple di Asia Tenggara, yang terletak di pusat beli belah Knightsbridge di Orchard Road, dibuka pada 2017.
Dalam kunjungannya ke Singapura Disember lalu, ketua eksekutif Apple, Encik Tim Cook berkata Singapura "perlu cawangan ketiga" kerana cawangan di Orchard Road "agak penuh".
Namun jelas tidak banyak kedai yang "penuh" sekarang terutama sekali dengan sektor runcit dan pelancongan yang teruk terjejas oleh pandemik Covid-19.
Penjualan runcit menjunam 27.8 peratus Jun lalu berbanding tahun sebelumnya, sementara hanya 2,200 pelancong berada di Singapura Jun lalu berbanding sekitar 1.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Penolong profesor pendidikan pemasaran di Universiti Pengurusan Singapura, Dr Seshan Ramaswami, berkata agak luar biasa untuk melihat pembukaan kedai baru semasa tempoh krisis seperti sekarang.
"Buat masa kini, cawangan baru itu besar kemungkinan tidak dapat menarik permintaan yang lebih," katanya.
"Namun, lokasi baik seperti di pusat beli belah premium seperti MBS yang dapat menarik pelanggan tertentu tidak selalu tersedia, dan syarikat besar yang mempunyai bajet besar seperti Apple boleh menggunakan krisis ini untuk mendapatkan harga sewa yang lebih baik."
Namun, Dr Ramaswami menambah Apple mungkin boleh memanfaatkan permintaan pelancongan yang terpendam apabila negara ini dibuka semula.