SEORANG ibu, yang menyerang anak-anaknya semasa naik berang, mengelar lengan anak lelakinya yang berusia 14 tahun beberapa kali dengan gunting dan mengugut untuk memotong jarinya.

Ibu tiga anak itu kekurangan sokongan sosial dan mengalami skizofrenia, yang berkemungkinan berulang semasa kesalahan itu, mahkamah diberitahu.

Identiti mereka tidak boleh didedahkan kerana perintah tegahan, atau gag order, untuk melindungi identiti mereka.

Semalam hakim meminta laporan kesesuaian Perintah Rawatan Wajib (MTO) untuk wanita itu atas desakan pihak pendakwa, selepas dia didapati bersalah menyebabkan kecederaan secara sukarela ke atas anak-anaknya.

Jika diberi MTO, wanita berusia 43 tahun itu akan menjalani rawatan untuk keadaan mentalnya sebagai ganti hukuman penjara.

Pihak pendakwa berkata "memandangkan kerentanan perubatannya, sokongan sosial yang lemah dengan pemahaman terhad tentang penyakitnya dan sejarah pematuhan yang lemah, dia akan meraih manfaat daripada tempoh pemulihan dan kemasukan pesakit dalam wajib".

Pada Februari 2020, anak-anak wanita itu memasuki bilik ibu mereka untuk menggunakan telefonnya bagi menghubungi bapa mereka apabila dia tiada di rumah. Mereka hanya dapat menghubungi bapa mereka melalui telefon ibu mereka, yang disimpan di dalam biliknya.

Anak perempuan bongsu ingin menghubungi bapanya lagi dan memasuki bilik ibunya melalui tingkap di dalam tandas, tetapi merosakkan beberapa perabot ketika dia memanjat masuk.

Apabila adik-beradiknya mendengar ibu mereka pulang, mereka melengahkannya sedang adik mereka keluar bilik, tetapi ibu mereka tidak lama kemudian mengetahui apa yang telah mereka lakukan, dan menjadi marah.

Dia memarahi mereka dan mengambil gunting, yang digunakannya untuk mengelar lengan anak lelakinya sekurang-kurangnya tiga kali dengan menekan bilahnya, menyebabkan budak itu menangis dan lengannya berdarah.

Dia mengancam memotong jari anak lelakinya itu jika dia memasuki biliknya lagi dan membaling penyapu ke arahnya, tetapi tidak kena.

Secara berasingan, pada Mei tahun itu, wanita tersebut memarahi anak perempuan sulungnya kerana mengotorkan pakaiannya dan menampar mukanya berkali-kali di hadapan anak-anak yang lain dan memukul remaja itu berulang kali dengan lampu meja.

Pada bulan Jun, perkara itu terbongkar apabila anak sulungnya memaklumkan kepada kaunselor sekolah tentang kemarahan ibunya dan dibawa ke hospital bersama adik lelakinya, diiringi seorang pegawai perlindungan kanak-kanak.

Tertuduh kemudiannya ditahan pada 29 Mac.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti