SEBANYAK 35,000 pelitup kain yang boleh digunakan semula telah dihasilkan bagi golongan mudah terdedah kepada wabak Covid-19 ini.
Sejumlah 5,000 akan dihantar kepada beberapa penerima bantuan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keluarga (MSF) mulai minggu ini kata MSF dalam satu kenyataan pada Rabu (29 April).
MSF berkata, sejumlah 3,000 pelitup kain itu akan diagihkan kepada penerima MSF mulai minggu ini dan lagi 2,000 akan dihantar ke rumah kebajikan.
MSF berkata, Khidmat Masyarakat Anglican Singapura (SACS) telah menerima pelitup itu dalam latihan pengagihan pertama itu.
Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut hadir pada pagi Selasa untuk pengagihan pelitup tersebut di SACS itu.
Daya usaha ini merupakan sumbangan masyarakat bertemakan 'Masks Sewn With Love' (Pelitup Dijahit dengan Kasih Sayang) dan langkah menjahit dan menghasilkan pelitup ini bertujuan melindungi golongan mudah terdedah seperti kanak-kanak, warga emas, penghuni rumah jagaan dan tempat berteduh, golongan yang tidak mempunyai rumah dan pekerja pembantu rumah.
Dalam jumlah 35,000 pelitup itu, 6,000 telah dijahit dan didermakan orang ramai dan baki 29,000 telah dihasilkan oleh pertubuhan akar umbi yang diterajui Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (Win) Persatuan Rakyat (PA) bersama rakan mereka seperti Pusat bagi Pekerja Domestik, SCORE, Pandu Puteri, Prasekolah Sparkle Tots, Mediacorp dan Persatuan Wanita India.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg