KORONAVIRUS Covid-19 kekal suatu ancaman meskipun Singapura sudah membuka semula ekonominya dalam fasa kedua pasca pemutus litar.
Oleh itu, meskipun orang ramai mungkin sudah mempunyai rancangan pada hujung minggu pertama Fasa Dua, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengingatkan kepentingan bertindak dengan tanggungjawab serta mengurangkan kontak dengan orang lain.
Dalam satu pos di Facebook, beliau berkata penting untuk menjaga jarak selamat, mengurangkan interaksi dan memastikan pertemuan tidak terlalu lama.
"Jaga jarak selamat dengan orang lain, sekurangnya satu meter.
"Kurangkan interaksi fizikal semana mungkin dan pakai pelitup setelah makan atau minum.
"Pastikan pertemuan tidak lama," tulis Encik Masagos.
Tambahnya:
"Dengan mengekalkan amalan baik yang telah kita lakukan sepanjang pemutus litar dan dalam Fasa Pertama, kita boleh memastikan sekitaran bebas-Covid bagi semua, sedang kita teruskan kehidupan seharian."
Pada masa yang sama, rondaan akan dipertingkat di tempat-tempat malam, dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis dan individu yang melanggar langkah-langkah jarak selamat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg