SATU jangkitan dalam masyarakat adalah antara lima kes baru Covid-19 di Singapura hingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes koronavirus itu di sini berjumlah 58,218.
Baki empat kes ialah kes import dan kesemua pesakit telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di sini, umum Kementerian Kesihatan (MOH)
Kelmarin, MOH mengumumkan dua kes positif Covid-19 dalam masyarakat, melibat pegerai di Pusat Tekka dan sekitarnya.
Mereka antara sembilan kes baru yang diumum hari itu.
Mereka dikesan dalam kalangan 876 pemilik gerai di Pusat Tekka yang menjalani ujian pengawasan dalam masyarakat Khamis lalu. Lagi 874 pemilik gerai diuji negatif.
Dalam kenyataanya, MOH berkata kededua kes positif itu dipercayai mengalami jangkitan lebih awal, berdasarkan hasil ujian serologi, yang antara lain menguji antibodi dalam darah bagi menjejak garis masa jangkitan.
Pesakit pertama ialah seorang wanita warga Singapura yang menjual daging kambing bersama rakan kerjanya di gerai di pasar Tekka, kata MOH.
Seorang lagi pesakit ialah warga India berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pembantu gudang. Lelaki itu tidak menunjukkan simptom dan dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit Nasional selepas beliau diuji positif Jumaat lalu.
Dua pekerja asing yang tinggal bersama lelaki tersebut di CUff Road diuji negatif, kata MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg