JUMLAH kes jangkitan tempatan Covid-19 di Singapura meningkat kepada 12,791 pada Selasa, bertambah daripada 7,629 sehari sebelumnya.

Jumlah pesakit yang sekarang dirawat di hospital pula bertambah 29, menjadi 1,194 orang daripada 1,165 pada Isnin lalu, lapor Kementerian Kesihatan (MOH) dalam status hariannya mengenai Covid-19.

Ini adalah hari keempat berturut-turut jumlah kemasukan hospital melepasi paras 1,000.

Sebanyak 2,753 kes baru masyarakat dikesan melalui ujian rantaian polymerase (PCR) kelmarin.

Lagi 10,038 kes dikesan melalui ujian pantas antigen (ART), menunjukkan mereka tidak mengalami gejala atau mempunyai simptom ringan.

Daripada jumlah kes pesakit yang dirawat di hospital, 23 dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU), berkurangan daripada 26 pada Isnin lalu.

Jumlah pesakit yang memerlukan bantuan oksigen berkurangan sedikit kepada 107, daripada 109 pada Isnin.

Sebanyak 220 kes dikenal pasti dalam kalangan mereka yang memasuki Singapura.

Daripada jumlah itu, 193 dikesan melalui ujian PCR, manakala 27 dikesan melalui ART.

Tiga lagi pesakit meninggal dunia akibat Covid-19, lapor MOH.

Kadar pertumbuhan jangkitan Covid-19 di Singapura kelmarin mencapai 1.69, peningkatan daripada 1.52 yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi satu menunjukkan bilangan kes mingguan baru Covid-19 sedang meningkat.

Hingga kelmarin, kes Covid-19 di Singapura berjumlah 418,640, dengan 877 kematian.

Sekitar 93 peratus daripada penduduk Singapura yang layak sudah divaksinasi sepenuhnya terhadap Covid-19.

Sekitar 61 peratus penduduk telah mendapatkan suntikan penggalak.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti