Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19 di SG: 3,577 kes baru dan tiga lagi maut
Covid-19 di SG: 3,577 kes baru dan tiga lagi maut
BILANGAN kes harian baru Covid-19 di Singapura melebihi 3,000 dua hari berturut-turut kelmarin, dengan 3,577 kes dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
Dengan ini, kes Covid-19 di Singapura berjumlah 113,381.
Tiga lagi warga emas, semuanya belum menerima vaksin, meninggal dunia di Singapura kelmarin, menjadikan jumlah kematian Covid-19 di sini seramai 133 orang.
Kesemua tiga orang itu adalah wanita warga Singapura berusia antara 68 tahun dengan 102 tahun.
MOH berkata mereka mempunyai penyakit lain tetapi tidak memberi butiran lanjut.
Kelmarin adalah hari ke-17 berturut-turut angka kematian Covid-19 di sini bertambah.
Daripada 3,577 kes baru kelmarin, 2,932 adalah kes dalam masyarakat, 630 pekerja migran yang tinggal di dormitori, dan 15 kes import.
Dalam kalangan kes dalam masyarakat, 664 adalah warga tua berusia lebih 60 tahun, kata MOH.
Sehingga tengah hari kelmarin, 1,520 kes berada di hospital, dengan 255 pesakit memerlukan sokongan oksigen.
Seramai 37 pesakit memerlukan rawatan di unit penjagaan rapi (ICU).
Menurut MOH, dalam kalangan yang sakit tenat, 239 berusia lebih 60 tahun.
Dalam pada itu, MOH berkata ia sedang mengawasi lapan kelompok besar yang masih aktif.
Bilangan kes di kelompok dormitori Aspri-Westlite Papan di Jurong meningkat paling banyak kelmarin, dengan 29 kes baru. Kelompok itu kini sebesar 196 kes.
Dormitori Tampines mengalami tujuh kes baru, menjadikan 181 kes di sana, dormitori Jurong Penjuru 1 mempunyai lima kes baru daripada sejumlah 54 kes, sementara Dormitori Defu South Street 1 mempunyai 21 kes baru sejumlah 263 pesakit.
MOH berkata penularan di dormitori adalah dalam kalangan penghuni dan tiada bukti ia menular ke luar dormitori.
Sementara itu, buat masa ini sekitar 600,000 orang yang layak telah menerima undangan mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.
Sejumlah 341,427 orang telah menerima suntikan penggalak dan lagi 99,000 telah membuat tempahan.