KETIKA Singapura membuat kemajuan yang baik dari segi melanjutkan semula beberapa aktiviti dalam Fasa Ketiga, beberapa pakar memperingatkan bahawa pergorbanan selama berbulan-bulan ini akan sia-sia jika kita tidak berjaga-jaga.
Pakar-pakar kesihatan yang dihubungi oleh Berita Minggu (BM) berkata bahawa kita harus terus waspada dalam beberapa bulan yang akan datang untuk mengekang kebangkitan semula jumlah kes Covid-19 yang akan memperlambatkan kemajuan kita.
Dengan lebih ramai dibenarkan berkumpul mulai esok, pakar penyakit berjangkit dari Hospital Mount Elizabeth Novena, Dr Leong Hoe Nam berkata beliau agak khuatir kerana ia boleh menjadi penyebab utama dan menjadi tempat di mana penyebaran virus akan berlaku.
"Jumlah kes jangkitan Covid-19 sekarang rendah, tetapi kita tidak dapat melihat kes jangkitan yang sebenar disebabkan undang-undang yang dilaksanakan. Oleh kerana kita tidak nampak kes-kes ini, ramai yang mula bersikap puas hati.
"Dengan jumlah kes yang lebih banyak kita tidak dapat mengesan, ia bermakna ancaman itu tetap nyata dan berterusan.
"Kita harus ingat bahawa kita sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan," kata Dr Leong.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr Leong berkongsi bahawa terdapat banyak yang masyarakat boleh lakukan untuk mengurangkan risiko gelombang kedua di Singapura.
Ini termasuk terus menggunakan pelitup muka, menjaga jarak selamat, menggunakan aplikasi TraceTogether atau token dan mengimbas SafeEntry.
Menyenaraikan langkah-langkah tersebut, Dr Leong menjelaskan bahawa kesemuanya merupakan penghalang jangkitan di Singapura.
Memberi contoh warga Singapura yang menjamu selera di restoran Seoul Garden dan diuji positif, Dr Leong berkata jangkitan tersebut tidak merebak lebih jauh kerana terdapat penghalang jangkitan.
"Apabila kita mempunyai lebih penghalang, ia mengurangkan kemungkinan virus itu merebak di Singapura.
"Daripada contoh yang saya berkongsi, kita boleh lihat bagaimana menggunakan pelitup dan menjaga jarak selamat yang dilakukan oleh rakyat Singapura telah berkesan. Dalam masa akan datang, kita juga perlu lihat bagaimana vaksin akan terus membantu menjadi penghalang bagi virus ini," katanya.
Baru-baru ini, kumpulan pertama vaksin Covid-19 telah tiba di Singapura, menjadikan negara ini negara pertama di Asia untuk menerima vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19, beberapa minggu selepas Britain dan Amerika Syarikat menerima bekalan vaksin mereka.
Meskipun terdapat segelintir orang yang skeptikal mengambil suntikan vaksin tersebut, Dr Norhisham Main, Konsultan Kanan, Perubatan Geriatrik, Hospital Besar Ng Teng Fong berkata vaksin ini boleh dianggap seperti vaksin yang ramai jalani dalam program imunisasi kanak-kanak.
"Vaksin ini bertujuan untuk melindungi kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit tertentu seperti influenza.
"Terdapat data saintifik mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19. Pakar lain juga telah mengkaji dan membuat cadangan ini berdasarkan data yang ada.
"Apabila kita mengambil suntikan itu, kita bukan hanya melindungi diri tetapi orang lain juga keliling kita," ujarnya.
Walaupun keadaan Covid-19 di Singapura semakin pulih, pakar-pakar yang diwawancara oleh BM turut menekan kepentingan untuk mengikuti undang-undang semasa.
Perjalanan berlanjutan wabak ini berpotensi membuat kita lalai, oleh itu, ramai harus berjaga-jaga ketika ekonomi dibuka semula.
COVID-19 MUSUH YANG TIDAK KELIHATAN
"Jumlah kes jangkitan Covid-19 sekarang rendah, tetapi kita tidak dapat melihat kes jangkitan yang sebenar disebabkan undang-undang yang dilaksanakan. Oleh kerana kita tidak nampak kes-kes ini, ramai yang mula bersikap puas hati. Dengan jumlah kes yang lebih banyak kita tidak dapat mengesan, ia bermakna ancaman itu tetap nyata dan berterusan. Kita harus ingat bahawa kita sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan.'' - Dr Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit Hospital Mount Elizabeth Novena.
VAKSIN LINDUNGI DIRI DAN ORANG KELILING
"Vaksin ini bertujuan untuk melindungi kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit tertentu seperti influenza. Terdapat data saintifik mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19. Pakar lain juga telah mengkaji dan membuat cadangan ini berdasarkan data yang ada. Apabila kita mengambil suntikan itu, kita bukan hanya melindungi diri tetapi orang lain juga keliling kita." - Dr Norhisham Main, Konsultan Kanan, Perubatan Geriatrik, Hospital Besar Ng Teng Fong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg