Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana Pengupayaan Sepanjang Hayat jaya kumpul lebih seganda dari sasaran

Dana Pengupayaan Sepanjang Hayat jaya kumpul lebih seganda dari sasaran
DANA Pengupayaan Sepanjang Hayat (ELF) telah berjaya mengumpulkan lebih seganda jumlah sasaran asalnya ketika ditubuhkan pada 2018.
Sebanyak $21 juta dikumpulkan kini selepas padanan pemerintah bagi dana tersebut - yang membiayai program bagi golongan kurang bernasib baik untuk meningkatkan kemahiran - dengan $10 juta berjaya dikumpulkan setahun sebelum tarikh sasarannya.
Ketika penubuhan ELF, dana tersebut diharap dapat mengumpulkan $10 juta menjelang hujung 2022 untuk membiayai sokongan yang disesuaikan seperti program peningkatan kemahiran kritikal, pembinaan kapasiti dan pekerjaan.
Selain itu, di bawah ELF, tujuh agensi perkhidmatan sosial kecil mampu menyediakan sokongan pekerjaan buat kali pertama.
Ini dapat dilakukan melalui kerjasama dengan penyedia khidmat pekerjaan mampan seperti Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).
Kejayaan dan kesan positif ELF bermakna ia akan dilanjutkan lagi melebihi tahap lima tahun yang ditetapkan sebelum ini.
Mengumumkan demikian semalam, Presiden Halimah Yacob berkata beliau berbesar hati dengan sokongan padu yang diberikan rakan kongsi terhadap usaha tersebut.
"Tema pemerkasaan jelas merupakan sesuatu yang penting bagi penderma kami.
"Kesan ELF sangat positif dan ketara. Sejak 2018, lebih $10 juta telah ditetapkan untuk membiayai 21 program bagi sokongan pekerjaan.
"Melalui ELF, Cabaran Presiden (PC) juga dapat menyokong lebih banyak golongan yang tidak dapat pembiayaan sebelum ini, termasuk orang kurang upaya, mereka yang mempunyai keadaan kesihatan mental serta wanita," kata Puan Halimah dalam ucapannya di majlis penghargaan PC di Istana semalam.
Beliau menambah bahawa pandemik Covid-19 telah menjejas golongan kurang bernasib baik secara tidak seimbang.
Oleh itu, adalah lebih genting untuk menyokong dan memperkasa mereka melalui peningkatan kemahiran yang meningkatkan kebolehpasaran mereka.
"Dengan memperkasakan pengguna perkhidmatan kami dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, dan membantu mereka memperoleh serta mengekalkan pekerjaan, kami boleh menyokong mereka dalam perjalanan mereka untuk berdikari dan mencapai mutu hidup yang lebih baik," ulas Puan Halimah.
Semasa acara penghargaan PC semalam, beliau turut merakamkan terima kasihnya kepada 77 penderma, rakan kongsi dan relawan yang telah menyumbang kepada usaha membantu masyarakat yang memerlukan meski dengan cabaran Covid-19.
PC 2021, tambah beliau, berada di landasan yang betul untuk mengumpulkan lebih $13 juta bagi menyokong 93 agensi di sini.