
KEPUTUSAN Singapura untuk menutup sebahagian besar ekonominya dan menggesa rakyatnya duduk di rumah untuk sebulan lagi akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pemberhentian kerja, kata para penganalisis.
Potongan terkini terhadap pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan prospek pekerjaan itu dibuat oleh DBS Bank menyusuli ramalan yang dibuat oleh OCBC Bank, UOB Group dan Maybank sebelum ini, lapor The Straits Times.
DBS kini menjangkakan kemelesetan dipacu koronavirus itu akan menjadi lebih mendalam dan berlarutan, dengan ekonomi menguncup 5.7 peratus tahun ini.
Kadar pemberhentian kerja mungkin meningkat kepada 45,600, jauh lebih tinggi berbanding kemelesetan masa lalu, sementara kadar pengangguran penduduk boleh meningkat kepada 4.2 peratus selepas mengambil kira faktor musiman.
Sekiranya Singapura gagal mengekang penularan itu menjelang hujung tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 1 Jun nanti, pertumbuhan GDP mungkin merosot serendah -7.8 peratus, kata ahli ekonomi kanan bank itu, Encik Irvin Seah, dalam satu laporan semalam.
Tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan itu dilanjutkan selepas jumlah kes jangkitan meningkat di asrama pekerja asing, menjadikan jumlah kes Covid-19 di Singapura yang tertinggi di Asia Tenggara dan kelima tertinggi di Asia.
Oleh sebab langkah baru itu lebih ketat daripada sebelumnya, ia akan lebih menjejas perniagaan yang sudah pun berdepan dengan cabaran pendapatan dan aliran tunai yang lemah.
Pemerintah telah menawarkan lebih banyak bantuan kepada perniagaan dan pekerja mereka, dengan respons kewangan keseluruhan bagi menangani pandemik itu ialah sebanyak $63.7 bilion, menurut anggaran DBS.
Tanpa bantuan pemerintah, ekonomi mungkin akan terjejas dengan lebih teruk, kata Encik Seah.
Perkhidmatan dan binaan merupakan dua sektor yang akan paling terjejas dengan lanjutan tempoh pemutus rantaian jangkitan itu.
"Lanjutan kepada 1 Jun, meskipun perlu dilakukan untuk mengekang penularan, akan menjejas banyak industri setempat, contohnya, binaan, runcit, F&B (makanan dan minuman), khidmat perniagaan," kata beliau.
Langkah bantuan itu akan membantu mereka, namun sesetengah perniagaan dengan kedudukan kewangan lebih lemah mungkin tidak dapat bertahan dalam krisis ini - yang membayangkan lonjakan dalam penutupan (cessation) syarikat, kemuflisan dan pemberhentian kerja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg