Topik diikuti
Pergi ke BHkuDetasmen helikopter Apache RSAF rai ulang tahun ke-20 di Arizona

Detasmen helikopter Apache RSAF rai ulang tahun ke-20 di Arizona
DETASMEN Peace Vanguard (PV) bagi Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menyambut ulang tahun latihan helikopter Apache AH-64D yang ke-20 tahun di Arizona National Guard Silverbell Army Heliport di Marana, Arizona, awal Khamis.
Sambutan itu dirasmikan Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Encik Heng Chee How, dan dihos Panglima Angkatan Udara, Mejar-Jeneral Kelvin Khong, Komander Komand Penyertaan RSAF, Kolonel Marcel Xu, dan Komander Detasmen bagi Detasmen Peace Vanguard, Leftenan-Kolonel Yeow Mun Cheng.
Ditubuhkan pada 2003, detasmen PV ini bekerja rapat dengan Detasmen Latihan Penerbangan Tentera Amerika Syarikat Kawalan Nasional Arizona bagi menjalankan latihan bertaraf tinggi bagi kru udara dan darat RSAF yang menguruskan helikopter Apache AH-64D, termasuk latihan udara-darat yang kompleks dalam sekitaran realistik dan mencabar.
Menjalankan latihan dalam detasmen di luar negara seperti PV membolehkan RSAF untuk mengatasi masalah ruang udara yang terhad di Singapura, selain mendapat akses bagi latihan bertaraf tinggi serta kemudahan bagi menajamkan keupayaan beroperasi.
Bercakap di acara tersebut, Encik Heng berkata:
"Sejak perasmiannya pada 2003, detasmen PV telah meraih banyak pencapaian hebat... dengan hampir 40,000 jam penerbangan yang dicatatnya serta akses kerap ke kompleks Pusat Latihan Kombat Orchard (OCTC) yang amat canggih di Boise, Idaho.
"Detasmen itu terus menguji tahap operasinya dalam melepaskan kuasa menembak yang tepat dan memberi respons sedang ia berinovasi untuk menghasilkan taktik baru terhadap pelbagai ancaman darat dan udara.
"Saban tahun, PV telah memaparkan kecemerlangan operasinya sedang ia menyertai banyak latihan bertaraf tinggi dan realistik.
"Peluang sedemikian amat bernilai bagi mengekalkan kerjasama bertaraf tinggi, silang beroperasi dan bersedia."
Sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut, Encik Heng mendedahkan tanda kenangan sempena 20 tahun latihan yang berlangsung di detasmen PV, dan komitmen detasmen itu untuk meneruskan kejayaan misi tersebut.
Acara tersebut juga disaksikan para pegawai kanan daripada Tentera Amerika Syarikat serta anggota utama masyarakat Amerika Syarikat setempat.