Topic followed successfully
Go to BHkuDI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN
DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN
DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN
Malim wanita melayari impian
BAK kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pepatah ini ternyata sesuai dikaitkan dengan Cik Farhana Md Thair, yang kini bertugas dalam sektor yang dipelopori majoriti oleh kaum Adam. Sebagai malim atau jurumudi pelabuhan Kelas C, gadis berusia 25 tahun ini merupakan salah seorang daripada tujuh wanita yang memegang jawatan tersebut dalam syarikat PSA Marine (Pte) Ltd dan mula berkhidmat sejak Januari 2018. Meskipun dikelilingi ramai kaum Adam, namun Cik Farhana - yang berkelulusan diploma dalam Pembelajaran Nautikal, Pensijilan Kecekapan Pegawai Geladak Kelas 3, hasil tajaan PSA Marine - menganggap kerjaya ini langsung tidak menumpukan kepada jantina. Dalam hal ini, beliau berterima kasih kepada golongan jurumudi wanita terdahulu yang merintis jalan dan memberi tunjuk ajar kepadanya. "Kerjaya ini tidak memilih jantina; yang utamanya adalah kemahiran dalam menguruskan kapal dengan mempamerkan kecemerlangan yang menyeluruh - keselamatan, profesionalisme, kebolehpercayaan dan kecekapan. "Rakan sekerja lelaki amat menyokong dan sering membantu kami. Kami dilayan sama seperti rakan sekerja lain. Meskipun kami bekerja sendirian, kami masih perlu bekerja dengan baik dan membantu satu sama lain sebagai satu pasukan semasa bertugas," katanya yang berminat dalam bidang maritim sejak 15 tahun. Dalam tugasannya sebagai malim pelabuhan, Cik Farhana akan menaiki kapal yang berlabuh di pelabuhan Singapura dan memberi panduan mengemudi dalam perairan yang sesak dan tidak menentu seperti pelabuhan atau muara sungai. Tugasan ini perlu diuruskan dengan cekap dan menggunakan pengetahuan terperinci mengenai laluan perairan setempat. Menurut anak tunggal itu, beliau mula menyesuaikan diri bekerja dengan kakitangan warga negara lain semasa menjalani program pelayaran kapal sebagai sebahagian daripada pengajian diplomanya. Walaupun secara umumnya rakan sekerja lelaki amat menyokong, tetapi Cik Farhana akui cabaran terus ada. Malah, kadang kala isu stereotaip jantina tidak dapat dielakkan memandangkan industri maritim ini dikuasai kaum Adam. "Terdapat sekumpulan kecil yang mungkin meragui keupayaan saya bukan hanya kerana jantina tetapi juga faktor usia muda - seperti yang dialami rakan sekerja lelaki sebaya," ujar Cik Farhana. "Bagi sesetengah kapten dan pegawai kapal, mereka mungkin bertemu dengan seorang malim pelabuhan wanita buat kali pertama. "Memandangkan saya lebih muda daripada mereka, ada yang lebih berwaspada dan memberi tumpuan yang lebih semasa saya jalankan tugasan. "Namun oleh kerana kami menjalani program latihan yang berstruktur dan menyeluruh, termasuk mempersiapkan kami menguruskan pasukan dengan profesional, di samping melaksanakan tugas saya dengan cekap dan selamat, mereka akan selalunya menjadi lebih tenang dan yakin terhadap keupayaan saya sebagai seorang karyawan," katanya yang kini lebih yakin dan berpengalaman dalam menguruskan situasi yang mencabar. Jelas Cik Farhana lagi, terdapat juga malim pelabuhan wanita yang merupakan kaum ibu, namun masih mampu lakukan kerja syif. "Jadi pucuk pangkalnya, ialah bagaimana seseorang itu menguruskan tugasannya dan mengimbangi antara komitmen peribadi dan keluarga," tambah beliau yang bercita-cita untuk mencapai tahap perlesenan malim pelabuhan yang tertinggi satu hari nanti.
Bos inklusif hargai pekerja kaum Hawa
MENYESUAIKAN jadual kerja mengikut peredaran masa dan keperluan pekerja menjadi antara keprihatinan Encik Suhaimi Salleh selama lebih 35 tahun beliau menjadi majikan. Ini termasuk menimbangkan keperluan dan tanggungjawab unik yang digalas pekerja wanita - sebagai ibu, anak dan pencari nafkah. Ini sebabnya kumpulan syarikat SSA Group memberi perhatian terperinci dalam membangunkan dan melaksanakan dasar tempat kerja yang memberi layanan sama rata dan jadual fleksibel untuk kaum Hawa, kata Encik Suhaimi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu. Misalnya, syarikat itu mengubah masa kerja tetap - dari 9 pagi hingga 6.15 petang kepada jadual lebih fleksibel - untuk beberapa pekerja wanita bagi membolehkan mereka menjemput anak mereka pulang dari sekolah dan pusat jagaan pelajar. Kemudahan seperti ruang khas untuk para ibu yang menyusukan anak turut disediakan manakala cuti diberikan dalam tempoh singkat bagi memenuhi keperluan anak kecil atau ibu bapa uzur. Encik Suhaimi menjelaskan dasar dan sistem kerja yang bersifat inklusif dan memberi layanan setara kepada kaum Hawa adalah penting. Ini kerana 80 peratus kakitangannya adalah wanita dan mereka menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan syarikat itu sama baik, atau lebih cemerlang daripada rakan kerja lelaki. Sekitar 50 peratus daripada 20 kakitangan pengurusan pula, terdiri daripada kaum Hawa. "Justeru dasar kerja yang memberi layanan setara dengan wanita akan memastikan yang mereka tidak berdepan dengan diskriminasi dan tahu yang mereka memiliki peluang sama rata dalam pertumbuhan kerjaya dalam syarikat ini. "Jika kami tidak melaksanakan aturan kerja yang fleksibel untuk pekerja wanita kami, ia mungkin akan menyebabkan kami untuk berbelanja lebih tinggi jika perlu menggajikan dan melatih orang baru bagi mengambil alih peranan mereka," terang Encik Suhaimi. Dengan adanya sistem penjejakan dan mengukur prestasi juga, pihak pengurusan dapat menyaksikan jika aturan kerja fleksibel yang dibenarkan dapat memastikan mereka produktif atau tidak dalam pekerjaan. "Beberapa pekerja wanita juga adalah ibu tunggal, jadi dengan bersikap sensitif terhadap situasi mereka dan membolehkah aturan kerja yang fleksibel akan merangsang semangat dan mendorong mereka untuk lebih cemerlang." Umumnya, kata Encik Suhaimi, jadual kerja yang fleksibel diperkenalkan disambut baik oleh semua golongan pekerja. "Mereka lebih bermotivasi melihat pihak pengurusan memahami keperluan mereka, selain bersikap fleksibel terhadap aturan kerja," tambah beliau. Kumpulan syarikat SSA yang menggajikan lebih 110 kakitangan, menyediakan khidmat profesional dalam bidang runding cara pengurusan, perakaunan awam dan perancangan estet serta institut kulinari menerusi anak syarikatnya - SSA Academy, SSA Culinary Institute, dan SSA Consulting. Dalam memahami perspektif pekerja wanita, Encik Suhaimi mengambil iktibar dan pengalaman peribadi sebagai bapa kepada tiga anak perempuan. "Memandangkan anak-anak perempuan saya juga seorang ibu yang bekerja, saya mendapat gambaran yang baik tentang cabaran yang dihadapi golongan itu. Terutamanya bila anak-anak sakit dan penjagaan tambahan diperlukan. "Justeru, bagi kakitangan saya yang merupakan kaum ibu, saya lebih memahami situasi mereka, maka itu saya memberikan cuti penjagaan anak dan cuti kerja, bila-bila perlu," tambahnya yang sendiri berpengalaman terpaksa mengambil cucunya dari tajaka apabila ibu bapanya sibuk di kerja.
Rencana ini dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan rakan kerjasama
Sertai Perbincangan Mengenai Pembangunan Wanita Singapura di http://go.gov.sg/SGWomen
Tunjukkan sokongan anda terhadap kempen Merai Wanita SG. Lungsuri http://go.gov.sg/celebratingSGWomen untuk nikmati pelbagai tawaran khas daripada rakan kerjasama kami.

