Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua jadi mangsa kes tipu penyamar pegawai pemerintah China
Dua jadi mangsa kes tipu penyamar pegawai pemerintah China
DUA lelaki menjadi mangsa kepada penipuan penyamaran pegawai pemerintah dari China yang berjaya mempengaruh mereka untuk mendedahkan maklumat peribadi serta latar belakang keluarga mereka hingga salah seorang daripada mereka mengalami kerugian sekitar $63,000.
Polis berkata pada Khamis kedua-dua mangsa itu berusia 22 dan 19 tahun masing-masing telah mematuhi arahan pegawai polis palsu dari China untuk melaporkan diri sebanyak tiga kali sehari menerusi aplikasi perbualan serta menyerahkan butiran bank mereka.
Polis berkata ia menerima panggilan terhadap kes itu apabila mereka menerima laporan berasingan oleh ibu bapa mangsa pada 28 dan 29 April yang mendakwa anak mereka telah ditawan.
Ibu bapa mereka, yang duduk di China, telah menerima panggilan oleh beberapa lelaki tidak diketahui yang mengancam untuk menyakiti anak-anak mereka jika anak-anak mereka itu tidak membayar balik hutang dari perjudian.
Lebih kurang tiga jam selepas dua laporan itu diterima, pegawai dari Divisyen Clementi, Divisyen Central, Divisyen Tanglin, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Perisik Polis dan Jabatan Ehwal Komersial melaksanakan siasatan susulan yang menyeluruh dan mengenal pasti identiti mangsa.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa itu masing-masing menerima panggilan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Secara berasingan, si penipu mendakwa pihak berkuasa telah menemui satu bungkusan yang mengandungi bahan terlarang di Singapura dan didaftar di bawah nama mereka.
Mangsa diberitahu bahawa identiti mereka mungkin telah disalah guna oleh pihak lain dan diminta untuk bekerjasama kononnya dalam satu siasatan oleh pihak polis China.
Polis berkata kedua-dua lelaki itu mematuhi arahan dalam ketakutan selepas mereka ditunjuk dokumen palsu dari China yang menyatakan mereka terlibat dalam jenayah.
Polis menambah mangsa mengekalkan hubungan mereka dengan penipu tersebut menerusi aplikasi perbualan.
Mangsa dalam kes pertama, di mana kesnya bermula pada Mac, diminta untuk membayar ikat jamin berjumlah $15,000 dan akan diberkas serta dipindahkan ke China jika tidak berbuat demikian atas pertuduhan jenayah.
Mangsa diberi amaran supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat berkenaan siasatan itu kepada pihak ketiga, termasuk ibu bapanya.
Lelaki itu kemudian membohong kepada ibunya bahawa beliau memerlukan $15,000 untuk membayar yuran sekolah, yang digunakan untuk membayar penipu tersebut dengan memindahkan wang itu kepada satu akaun bank pada 10 April.
Lelaki itu kemudian disuruh memadam sejarah perbualan mereka dengan penipu, termasuk butiran akaun bank si penerima.
Dua minggu kemudian, lelaki itu disuruh memindahkan lagi 250,000 yuan ($48,000) sebagai bukti beliau tidak bersalah. Lelaki itu membohong kepada ibunya lagi untuk mendapatkan wang itu dan memindahkannya kepada dua akaun bank China agar dapat elak dari menangguhkan siasatan itu.