SEBANYAK 19 syarikat - 18 daripadanya beroperasi di Johor - bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) untuk menderma sejumlah 100,000 pelitup topeng KN95 dan lima tan pembersih tangan kepada Kerajaan Negeri Johor.
Langkah ini adalah sebagai menyokong usaha pekerja kesihatan barisan hadapan Johor dan mereka yang bertugas menangani wabak Covid-19.
Usaha pendermaan pelitup KN95 dan cecair pembasmi kuman untuk tangan itu dianjurkan oleh EDB, dan hasil sokongan serta sumbangan Aik Moh Paints and Chemicals Pte Ltd, CapitaLand Group, Celestica Electronics (S) Pte Ltd, DHL Express (S) Pte Ltd, Dyson Operations Pte Ltd, irmenich Asia Pte Ltd, Halliburton Far East Pte Ltd dan Heraeus Materials Singapore Pte Ltd.
Selain itu, syarikat lain turut terlibat seperti Hitachi Chemical (Singapore) Pte Ltd, Kuok (Singapore) Limited, Meiban Corporation Pte Ltd, Micron Semiconductor Asia Operations Pte Ltd, Musim Mas Holdings Pte Ltd, Nusajaya Tech Park Sdn Bhd, Seagate Singapore International Headquarters Pte Ltd, SEIKO Manufacturing (Singapore) Pte Ltd, Showa Denko HD Singapore Pte Ltd, Venture Corporation Limited1 dan Vopak Asia Pte Ltd.
Pelitup KN95 dan cecair pembasmi kuman untuk tangan itu telah diserahkan secara rasmi oleh Pengerusi EDB, Dr Beh Swan Gin, kepada Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, menerusi acara penyampaian yang dilakukan secara maya.
Ia disaksikan oleh Kuasa Usaha Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Encik Muhammad Radzi Jamaludin, serta wakil-wakil syarikat yang menyumbang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg