Topik diikuti
Pergi ke BHkuEgo antara sebab lelaki enggan dapat bantuan atasi keganasan keluarga
Ego antara sebab lelaki enggan dapat bantuan atasi keganasan keluarga
STIGMA, maruah diri dan ego merupakan antara sebab mengapa masih terdapat lelaki yang enggan tampil mendapatkan bantuan akibat masalah keganasan dalam keluarga, kata Persatuan Terhadap Keganasan Keluarga (SAFV).
Ini kerana terdapat persepsi masyarakat bahawa lelaki patut huraikan masalah mereka sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa, kerana ini mungkin membuat mereka kelihatan lemah.
"Ada juga yang kurang pengetahuan tentang sistem sokongan yang wujud terutamanya jika sistem sokongan itu seolah-olah menyebelahi kaum Hawa, sedangkan yang menjadi mangsa keganasan adalah lelaki," kata jurucakap SAFV dalam e-melnya kepada Berita Harian.
Jurucakap itu berkata pihaknya menjangkakan pertambahan dalam pertanyaan mengenai isu domestik keluarga memandangkan keperluan keluarga dan isu sosial menjadi lebih kompleks, lantas menyumbang kepada keganasan keluarga.
Lantas bagi mengatasi masalah ini, sebuah pusat perlindungan bagi kaum Adam yang menjadi mangsa keganasan domestik bakal ditubuhkan.
Pusat bagi Lelaki dan Keluarga (CMF) yang akan ditubuhkan tahun depan, bertujuan memberi perlindungan kepada pelaku keganasan domestik lelaki selain lelaki yang tiada tempat tinggal kerana mengalami masalah keluarga.
Dalam respons berasingan, seorang jurucakap pusat pakar keganasan keluarga Pave pula akur ada lelaki yang tampil mendapatkan bantuan akibat isu domestik.
"Seperti wanita, mereka (lelaki) juga perlu didengar dan mereka juga inginkan bantuan untuk diri mereka serta keluarga," katanya yang menambah bahawa Pave telah memberikan khidmat kepada kaum Adam sejak 1999.
"Kami telah mengadakan sesi berkumpulan untuk lelaki dan bertemu mereka secara individu juga.
"Kami juga mempunyai sebuah platform lelaki di mana kaum Adam boleh datang berbincang isu berkaitan mereka," tambah beliau.
Namun Pave tidak memberikan sebarang perangkaan tentang bantuan yang diberi kepada lelaki.
Meskipun begitu jurucakap SAFV tidak menafikan terdapat kaum Adam yang tidak akan tampil dapatkan bantuan kerana sifat maruah diri dan ego atau stigma sekiranya terlibat dalam lingkaran keganasan.
"Mungkin juga kurang pengetahuan tentang sistem sokongan yang disediakan, atau pengalaman kurang elok dengan sistem sokongan yang seolah-olah menyebelahi kaum Hawa, sedangkan terdapat juga kaum Adam yang jadi mangsa keganasan," katanya.
Konsultan Kerja Sosial di BROMOHD - The Practice, Encik Mohd Ali Mahmood, berkata ada bukti yang menunjukkan kaum lelaki yang menjadi mangsa keganasan dalam hubungan intim kurang kemungkinan untuk mendapatkan bantuan kerana ianya bersangkutan dengan pemikiran 'lelaki harus perkasa', dan memohon bantuan menunjukkan kelemahan pada diri dan status sebagai lelaki.
"Sebahagian mereka mungkin rasa tidak akan dipercayai kerana tanggapan masyarakat bahawa kaum lelaki lebih mudah dapat mempertahankan diri, ataupun selalunya disabitkan kepada pelaku keganasan dan bukannya sebagai mangsa,
"Mereka yang memohon pertolongan boleh dikatakan sudah melebihi tahap rasa segan silu kerana sudah tidak berdaya untuk keluar dari lingkaran keganasan ini.
"Besar kemungkinan, mereka perlukan sokongan yang praktikal seperti tempat berteduh atau tidak ada sumber sokongan keluarga terapat," katanya.