MEREKA yang divaksin, khususnya golongan remaja dan anak muda - yang menerima suntikan dos vaksin mRNA - dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan kegiatan fizikal atau senaman berat selama dua minggu selepas vaksinasi.

Ini berbanding tempoh seminggu yang disarankan sebelum ini, kata Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 (EC19V) semalam dalam panduannya yang terkini.

Ini merupakan langkah berjaga-jaga tambahan memandangkan masih terdapat risiko kecil berlakunya myocarditis iaitu otot jantung yang meradang atau pericarditis iaitu keradangan tisu yang mengelilingi jantung selepas vaksinasi mRNA Covid-19 dan lazimnya berlaku ke atas orang lebih muda dan selepas dos kedua.

Sementara itu, mereka yang mengalami reaksi kulit tidak teruk lebih lewat dan gejala kulit tidak khusus selepas menerima satu dos vaksin mRNA Covid-19, kini boleh menerima dos seterusnya bagi vaksin yang sama.

Ekoran data klinikal terkini, jawatankuasa itu telah mengemas kini nasihatnya mengenai vaksin mRNA, iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Dalam panduan keselamatan vaksin Covid- 19 kelima dan terkini oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), ia berkata kadar kejadian selepas dos dua adalah 1.06 bagi setiap 100,000 dos diberikan manakala bagi lelaki berusia di bawah 30 tahun, ia adalah 4.84 bagi setiap 100,000 dos diberi.

MOH menjelaskan dalam kenyataannya:

"Sementara kebanyakan kes dilaporkan sebelum ini berlaku dalam masa seminggu vaksinasi, HSA sudah mula menerima laporan beberapa kes yang berlaku dalam masa minggu kedua vaksinasi.

"Myocarditis dan pericarditis selepas vaksinasi jarang berlaku, tetapi kemungkinan ia berlaku lebih tinggi pada lelaki muda, berusia 30 tahun dan ke bawah.

"Sebagai langkah berjaga-jaga lanjutan, khususnya bagi remaja dan orang muda yang menerima dos vaksin mRNA Covid-19, mereka dinasihatkan supaya mengelak senaman berat atau kegiatan fizikal selama dua minggu setelah vaksinasi dan bukan seminggu, seperti disarankan sebelum ini."

Menurut jawatankuasa itu, dalam masa ini, mereka harus mendapatkan perhatian perubatan dengan segera jika mengalami sakit dada, sukar bernafas atau degupan jantung terlalu pantas. Penyedia vaksin, tambahnya, juga perlu menasihatkan individu yang menerima vaksin tersebut.

"Sejauh ini, kebanyakan kes setempat myocarditis yang berkaitan dengan vaksin dalam golongan lebih muda adalah sederhana, memberi respons baik terhadap rawatan dan beransur pulih atau sudah dibenarkan pulang dari hospital. Ini konsisten dengan apa yang diperhatikan di peringkat antarabangsa," ujar kenyataan itu.

Sementara itu, jawatankuasa itu berkata mereka yang mengalami reaksi kulit selepas dos vaksin mRNA sebelum ini, kini boleh mengambil dos seterusnya bagi vaksin yang sama.

Ini termasuk reaksi kulit tidak teruk selepas empat jam vaksinasi tanpa gejala lain, gejala kulit tidak khusus seperti gatal tanpa ruam dan kemunculan masalah kulit yang sudah ada, seperti psoriasis and eczema.

HSA berkata sebanyak 8,716,085 dos vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional, sehingga 31 Ogos.

Sejumlah 11,737 - atau 0.13 peratus - kes reaksi buruk yang disyaki telah dilaporkan di bawah program vaksinasi nasional dalam masa tempoh sama.

Warga emas setempat telah mula menerima suntikan penggalak atau dos ketiga mulai kelmarin, dalam usaha Singapura memperhebatkan lagi usaha menyekat penularan Covid-19. Pemerintah juga sedang mengkaji kemungkinan suntikan penggalak bagi golongan dewasa lebih muda.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti