Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Empat individu curi $23,500 menerusi wadah pembelian diberkas polis

May 5, 2020 | 11:59 PM
DIRAMPAS: Barang-barang yang dirampas polis oleh dua lelaki kumpulan empat orang itu adalah bantal urut, tepung susu, pakaian peribadi, beberapa alat elektronik, telefon bimbit, kartu SIM prepaid, dan beberapa CPU komputer termasuk alat komputer juga. - FOTO: PASUKAN POLIS SINGAPURA
DIRAMPAS: Barang-barang yang dirampas polis oleh dua lelaki kumpulan empat orang itu adalah bantal urut, tepung susu, pakaian peribadi, beberapa alat elektronik, telefon bimbit, kartu SIM prepaid, dan beberapa CPU komputer termasuk alat komputer juga. - FOTO: PASUKAN POLIS SINGAPURA -

EMPAT individu berusia antara 28 dengan 45 tahun telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam satu siri pembelian haram menerusi aplikasi pembelian di telefon bimbit dengan menggunakan maklumat kartu kredit yang dicuri, kata Polis.

Kumpulan itu telah berjaya mencuri wang sejumlah $23,500 menerusi skim pembelian secara haram itu.

Dalam satu kenyataan pada malam Selasa (5 Mei), polis berkata pihaknya telah menerima laporan pada 17 April lalu mengenai pemesanan teksi yang tidak disahkan menerusi aplikasi telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati bahawa dua lelaki antara kumpulan empat orang itu dipercayai telah melakukan pembelian yang tidak sah itu menerusi wadah pemesanan teksi hingga melibatkan wang sebanyak $1,500.

Baki dua orang lagi, iaitu dua wanita dipercayai telah menaiki teksi yang dipesan dua lelaki itu.

Setelah siasatan dilaksanakan, pegawai daripada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) berjaya mengenal pasti identiti empat orang itu yang terlibat dalam kegiatan tersebut lalu memberkas mereka pada Isnin (4 Mei).

Dua lelaki yang terlibat dalam siri pemesanan teksi secara haram itu juga terlibat dalam kegiatan serupa dengan menggunakan satu lagi aplikasi wadah pasar raya setempat antara Mac dengan April 2020 hingga melibatkan wang sebanyak $22,000, kata Polis.

Dalam pada itu, barang-barang yang dirampas polis adalah bantal urut, tepung susu, pakaian peribadi, beberapa alat elektronik, telefon bimbit, kartu SIM prepaid, dan beberapa CPU komputer termasuk alat komputer juga.

Dua lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Rabu (6 Mei) manakala siasatan masih dilaksanakan bagi dua wanita itu.

Polis turut memberi amaran bahawa mereka yang disabit kesalahan mengakses bahan komputer secara tidak sah di bawah Seksyen 3(1) Akta Penyalahgunaan Komputer, Bab 50A boleh didenda jumlah tidak melebihi $5,000 atau dipenjara sepanjang tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg