Topik diikuti
Pergi ke BHkuEnam didakwa tipu bank untuk dapatkan komisen $200-$500
Enam didakwa tipu bank untuk dapatkan komisen $200-$500
Enam didakwa tipu bank untuk dapatkan komisen $200-$500
ENAM lelaki, berumur 22 tahun hingga 26 tahun, didakwa semalam atas kesalahan menipu bank dengan membuka akaun dan memberikan butiran SingPass mereka kepada orang yang tidak dikenali untuk mendapatkan komisen antara $200 dengan $500.
Tiga daripada mereka - Muhammad Ridwan Atan, 23 tahun, Louis Chin, 26 tahun, dan Muhamad Hairul Nizam Mohd Halim, 23 tahun - dikatakan mendedahkan nama pengguna dan kata laluan SingPass mereka kepada individu tidak dikenali untuk mendapatkan komisen antara $200 dengan $500.
Ridwan juga didakwa atas kesalahan menerima wang tunai dan barang kemas yang dicuri bernilai lebih $8,000.
Tertuduh lain ialah Lester Law Jin Yuan, 22 tahun, Sean Lee Jun Jie, 23 tahun, dan Daniel Phua Zhi Hao, 24 tahun.
Menurut dokumen mahkamah, kesalahan yang didakwa berlaku di antara Disember 2020 dengan Oktober tahun lalu melibatkan bank termasuk Standard Chartered Bank, UOB dan OCBC Bank.
Ridwan dikenakan empat tuduhan atas kesalahan seperti memberi akses kepada akaun banknya dengan sengaja kepada pihak tidak dikenali dan juga kepada kenalan yang dikenali sebagai 'Jimmy' untuk melakukan transaksi pada sistem komputer bank.
Phua pula didakwa kerana menyerahkan butiran Bank OCBC-nya kepada Law dan dua yang lain - Yeo Zhi Xiang dan Desmond Chan Whye Keat - supaya mereka boleh mengakses akaun banknya untuk menipu.
Law dan Phua juga dituduh kerana memadamkan sejarah perbualan dalam talian mereka untuk menyembunyikan maklumat berkaitan kegiatan perbankan haram daripada polis.
Chin dan Lee pula dituduh melakukan kesalahan - membuka akaun bank bagi pihak lain. Tidak disebut di mahkamah bagaimana akaun bank tersebut digunakan.
Tertuduh akan kembali ke mahkamah pada tarikh yang lain.
Di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer, mereka yang menipu dengan memberi cara akses kepada program komputer boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga $10,000.
Hukuman maksimum kerana mengakses program komputer tanpa kebenaran ialah penjara dua tahun dan denda $5,000.
Bagi menipu pula hukumannya penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda.
