Topik diikuti
Pergi ke BHkuEra pascapandemik: Ramadan dijangka lebih semarak
Era pascapandemik: Ramadan dijangka lebih semarak
APABILA azan maghrib berkumandang Rabu malam, masjid-masjid di serata Singapura dijangka dibanjiri jemaah untuk mendirikan solat isyak dan solat tarawih berjemaah dan dijangka mula berpuasa Khamis, dalam suasana yang dijangka lebih bersemarak pasca-Covid-19.
Tidak seperti tahun-tahun sudah, jemaah tidak lagi perlu membuat tempahan untuk tarawih di semua masjid, kecuali di 10 masjid dengan permintaan tinggi dan ruang terhad.
Keadaannya berbeza sebalum ini. Semasa masih dibelenggu Covid pada 2021, jemaah hanya boleh menempah tiga slot solat tarawih.
Tahun lalu, keadaannya lebih baik - jemaah boleh buat tempahan slot sepanjang Ramadan, dengan proses pemeriksaan masuk ke masjid masjid dijalankan, dan jemaah mendirikan solat dengan jarak selamat.
Tahun ini, sejumlah 98,550 ruang solat disediakan di 67 masjid sepanjang Ramadan dengan jemaah boleh solat dalam saf rapat, dan tidak perlu buat sebarang tempahan, kecuali di 10 masjid - Masjid Al-Islah, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Taqua, Masjid Darul Ghufran, Masjid An-Nur, Masjid Darul Makmur, Masjid Yusof Ishak, Masjid Al-Abrar, Masjid Tasek Utara dan Masjid Al-Khair, jemaah tidak lagi perlu menempat solat, boleh berdiri dalam saf rapat.
Pemeriksaan tempahan di kesemua masjid itu, yang dibuka sejak 16 Mac menerusi laman https://prayerbooking.ourmasjid.sg mendapati kesemua slot telah habis ditempah.
Dengan permintaan yang tinggi, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang sebelum ini menyatakan bahawa solat tarawih di kolong blok dan dewan serba guna tidak akan diadakan, telah mengizinkan sebilangan kumpulan kariah meneruskannya setelah menimbangkan keprihatinan kumpulan kariah berhubung persiapan, perbelanjaan yang telah dibuat dan kesukaran membatalkan acara yang telah dirancang.
Pada Selasa, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi rasa syukur dalam Facebook dapat bertemu dengan beberapa ahli jawatankuasa kumpulan-kumpulan kariah di kejiranan Tampines Isnin malam.
"Perbincangan kami berjalan lancar secara jujur dan ikhlas, hati ke hati. Saya sangat menghargai dedikasi kesemua kumpulan kariah kita dalam membantu para penduduk Muslim menjalankan ibadah mereka dan membina ukhwah yang erat.
"... Saya harap kita sama-sama dapat menikmati fadilat dan rahmatnya sebagai satu masyarakat yang bersatu hati, tabah dan penuh sifat rahmah kepada semua mencapai kejayaan yang lebih besar, Insya-Allah," kata beliau.
Keadaan yang lebih baik yang akan menambah sinar Ramadan itu disyukuri banyak pihak.
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, kita bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan pada era pasca Covid-19 ini, tanpa banyak sekatan seperti yang pernah dilalui sejak 2020.
"Ini satu nikmat dan hasil dari usaha padu pemerintah dan masyarakat bersama yang berjaya mengharungi cabaran Covid-19.
"Pada waktu yang sama, masyarakat tidak harus leka dan terus menjaga kesihatan, kebersihan diri dan keselamatan masyarakat umum.
"Sebagai satu masyarakat, kita harus sentiasa prihatin dengan maslahat dan kesejahteraan umum agar semua dapat memanfaatkan Ramadan tahun ini dengan lebih baik dan bermakna," kata beliau.
Dengan nada serupa, Encik Naseer Ghani Penasihat Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), berkata "kita harus renungkan nikmat ini dan bersyukur dan usah memandang remeh akan nikmat ini.
"Ramadan tahun ini memberi peluang kepada kita untuk terus membantu, memberi zakat kepada golongan yang kurang mampu."
Begitu juga harapan Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman.
Beliau berkata:
"Semoga Ramadan kali ini, di mana sekatan sudah banyak berkurang berbanding tahun-tahun yang sudah, dapat menjadikan kita umat Islam yang bersyukur kepada Allah, bermotivasi tinggi untuk meningkatkan ketakwaan serta terus berusaha menjadi lebih baik dan bermanfaat.
"Dan semoga cabaran-cabaran Ramadan yang sudah mengajarkan kita untuk terus berusaha menjadi umat yang resilien, bersatu padu dan proaktif dalam menghadapi segala bentuk ujian."
Turut melahirkan rasa syukur dapat menyambut Ramadan tanpa sekatan, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, "seperti kebanyakan orang, saya menantikan sesi tarawih dan berbuka puasa bersama keluarga besar dan penduduk.
"Saya juga faham bahawa bazar hari raya telah menarik banyak keseronokan, dan ini mencerminkan kegembiraan dan kelegaan dalam masyarakat," kata beliau.
Dengan suasana yang lebih bersemarak pasca-Covid, Ramadan dan Hari Raya dijangka meriah.
Bukan sahaja bazar Ramadan dianjurkan di banyak kawasan, banyak restoran dan tempat makan dijangka sibuk.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas, berkata restorannya, Landmark Restaurant, sibuk membuat persiapan bagi menyediakan khidmat katering bagi iftar yang telah penuh ditempah sehingga 22 April.
"Tentunya, tahun ini tempahan adalah lebih baik berbanding tahun lalu kerana kita tidak mempunyai sekatan. Orang ramai boleh berhimpun dengan jumlah yang lebih besar,'' kata beliau.
"Tentunya, tahun ini tempahan adalah lebih baik berbanding tahun lalu kerana kita tidak mempunyai sekatan. Orang ramai boleh berhimpun dengan jumlah yang lebih besar.''
- Encik Ali Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Hospitality Group.
"Semoga Ramadan kali ini, di mana sekatan sudah banyak berkurang berbanding tahun-tahun yang sudah, dapat menjadikan kita umat Islam yang bersyukur kepada Allah, bermotivasi tinggi untuk meningkatkan ketakwaan serta terus berusaha menjadi lebih baik dan bermanfaat.
Dan semoga cabaran-cabaran Ramadan yang sudah mengajarkan kita untuk terus berusaha menjadi umat yang resilien, bersatu padu dan proaktif dalam menghadapi segala bentuk ujian"
- Ustaz Muhammad Azri Azman, Presiden Persatuan Muhammadiyah.