SEJUMLAH 58 denda dikenakan ke atas perniagaan dan individu dalam minggu pertama Fasa Satu pasca tempoh 'pemutus litar', kata Enterprise Singapore (ESG) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Selasa (9 Jun).
Ini berikutan pemeriksaan yang dijalankan kededua agensi itu di tempat kerja, pusat membeli-belah dan penubuhan pelancongan antara 2 dengan 8 Jun.
Menurut kenyataan bersama ESG dan STB pada Selasa, ia berkata lima perniagaan yang terdiri daripada runcit, makanan dan perkilangan masing-masing dikenakan denda $1,000 kerana gagal mematuhi Langkah Pengurusan Selamat yang betul.
"Sebab bagi denda termasuk kegagalan mengarah pekerja bekerja di rumah di mana fungsi tugas membenarkannya, kegagalan melaksanakan langkah jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter di premis tempat kerja dan kedai, serta kegagalan untuk mematuhi keperluan khusus sektor pada jualan runcit," katanya.
Baki 53 denda $300 pula dikenakan ke atas individu - yang terdiri daripada orang ramai serta kakitangan cawangan runcit dan makanan dan minuman (F&B).
Kededua agensi itu menambah mereka didenda kerana tidak memakai pelitup, melanggar larangan perhimpunan sosial dan meninggal tempat kediaman bagi tujuan tidak penting.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg