KEBANYAKAN penduduk di sini mematuhi langkah jarak selamat yang telah ditetapkan dan memakai pelitup apabila keluar rumah.
Malah, denda yang dikeluarkan terhadap mereka yang melanggar arahan jarak selamat juga turun - dari lebih 250 denda sehari pada tempoh awal penguatkuasaan pada April lalu, kepada sekitar 85 denda pada 31 Mei.
Namun, terdapat peningkatan 5 peratus jumlah mereka yang ditangkap berjumpa dengan orang daripada rumah lain dalam minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu pos di Facebook, Encik Masagos menulis:
"Pegawai penguatkuasa kami mendapati ada orang yang bertemu dengan pembeli, berbual-bual dalam satu kumpulan di tempat awam, bersenam bersama di taman, malah ada sekumpulan individu dari rumah berbeza berkumpul, minum-minum untuk sambut hari lahir!
"Tingkah laku sembrono seperti itu menjejaskan usaha untuk memastikan Singapura selamat, dan tidak akan diterima."
Oleh itu, tambah beliau, orang ramai tidak boleh cuai sedang negara memasuki Fasa pertama bermula esok (2 Jun)
"Kita mesti kekal berjaga-jaga untuk memastikan orang yang kita sayangi selamat...Jika kita semua memainkan peranan, kita dapat mengatasi ini bersama dan muncul lebih kuat bersama," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg