Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma diarah henti kerja selepas kren jatuh di Universal Studio S'pura
Firma diarah henti kerja selepas kren jatuh di Universal Studio S'pura
SEBUAH firma kejuruteraan telah diarah untuk menghentikan kerja selepas kren jatuh di tengah-tengah kawasan kerja meroboh di Universal Studios Singapura pada petang kelmarin.
Pengendali kren itu, yang memanjat keluar dari kabin kenderaan tersebut, mengalami kecederaan ringan di muka dan diberi rawatan kecemasan, kata jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.
Jurucakap itu berkata kemalangan di tempat kerja itu berlaku pada sekitar 3.40 petang.
Kren itu telah tumbang apabila ia menaikkan struktur keluli yang merupakan sebahagian daripada pokok palsu yang sedang dirobohkan.
MOM mengarahkan syarikat kejuruteraan China Jingye Engineering supaya menghentikan semua operasi pengangkatan dan kegiatan perobohan.
Syarikat itu sedang bekerjasama dengan MOM untuk mendapatkan semula kren itu dengan selamat.
Jurucakap Resorts World kelmarin berkata:
"Keselamatan tetamu dan anggota pasukan kami tetap menjadi keutamaan kami.
"Kami sedang menyemak dengan teliti insiden ini, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan telah menghentikan kontraktor tapak itu daripada melakukan sebarang kerja selanjutnya sementara semakan ini berlaku."
Terdapat 42 kematian berkaitan kerja pada 2022, jumlah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun.
Sebanyak 37 kematian berkaitan kerja dicatatkan pada 2021, 30 pada 2020, dan 39 pada 2019.
Kecederaan ringan di tempat kerja juga meningkat daripada 5,327 pada suku kedua kepada 5,495 pada suku ketiga tahun ini.