SEBUAH kilang berkongsi pembuatan makanan kumpulan kecil yang pertama di Singapura dilancarkan semalam, dengan ia dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 200 pengilang makanan dan menyokong pembangunan 400 produk makanan baru menjelang 2026.

Kilang FoodPlant bernilai $13 juta itu bertujuan melengkapi syarikat tempatan dengan keupayaan dipertingkat untuk membangunkan produk makanan baru dan inovatif dalam memenuhi pilihan pengguna yang berkembang.

Ini akan dilakukan dengan menyediakan akses yang boleh dimampui kepada pelbagai peralatan tahap perintis, khidmat konsultasi penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kursus peningkatan kemahiran.

Terletak di JTC Food Hub @ Senoko, kilang seluas 1,107 meter persegi itu dilancarkan bersama oleh Institut Teknologi Singapura (SIT), Enterprise Singapore (ESG) dan JTC.

Kilang FoodPlant itu mempunyai lesen oleh Agensi Makanan Singapura (SFA), yang membolehkan produk makanan yang dibuat di kilang itu dijual secara komersial.

Di kilang tersebut, syarikat makanan boleh menghasilkan produk baru dalam jumlah yang kecil dan menjualnya kepada pelanggan bagi melakukan ujian pasaran, dan mendapatkan maklum balas pada peringkat awal untuk mempertajam proses pembangunan produk mereka.

Berucap pada majlis pelancaran kilang itu semalam, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkata dengan menyediakan sebuah rangkaian kemudahan berkongsi, ia akan membantu syarikat meringkaskan kitaran inovasi dan menjual produk dalam pasaran dengan lebih pantas.

Beliau menambah bahawa syarikat dalam tahap pertumbuhan yang berlainan menghadapi pelbagia cabaran dalam perjalanan inovasi makanan mereka.

"Syarikat start-up dan firma kecil dan sederhana (SME) sering menghadapi hambatan seperti kekurangan kemudahan, peralatan yang mahal, kos peluang yang tinggi dan syarat tempahan minimum yang tinggi daripada pengilang penyumberan luar apabila mengkomersialkan produk baru selepas R&D.

"Bagi syarikat lebih besar dan syarikat berbilang negara (MNC), sukar bagi mereka menghentikan sahaja alur pengeluaran sedia ada untuk menguji produk baru.

"Oleh itu, pelancaran FoodPlant hari ini akan memberi rangsangan penting kepada landskap inovasi makanan kita," kata Encik Heng.

Kilang FoodPlant mempunyai 12 bilik dengan peralatan penghasilan makanan khusus.

Ini seperti penyemperit skru kembar yang menggunakan teknologi penyemperitan kelembapan tinggi (HMET) untuk memberikan tekstur kepada protein berasaskan tumbuhan menjadi produk daging buatan alternatif.

Terdapat juga mesin retot yang menyediakan pensterilan komersial makanan untuk melanjutkan jangka hayatnya dan menyimpan makanan itu di bawah keadaan ambien dengan membungkus dan memanaskan makanan dalam kantung retot fleksibel atau balang kaca.

Selain peralatan, kilang FoodPlant menyediakan latihan kemahiran bagi ahli teknologi makanan untuk memperkukuh penggunaan teknologi pemprosesan makanan maju dalam industri.

Antara kursus peningkatan kemahiran yang akan disediakan ialah HMET bagi Daging Buatan, Teknologi Penyemperitan Makanan dan Pemprosesan Retot.

Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing, dalam ucapannya pada majlis pelancaran kilang itu berkata hampir 20 syarikat makanan, seperti SG Protein, Growthwell dan JR Foods, telah mendaftar sebagai anggota FoodPlant.

Syarikat yang menjadi anggota kilang itu boleh menikmati manfaat termasuk tempahan keutamaan bagi bilik pengeluaran dan peralatan, dan tambahan diskaun 20 peratus untuk perkhidmatan yang dapat digunakan selepas promosi tahun pertama.

Dalam usaha mempertingkat kerjasama antara syarikat makanan tempatan dan juga kerjasama rentas sempadan, FoodPlant dan SIT telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kilang pemprosesan makanan tahap perintis Foodbowl New Zealand pada 20 April lalu.

Di bawah MOU itu, SIT, FoodPlant dan FoodBowl akan bekerjasama untuk mempercepat inovasi dan perkilangan makanan di kedua-dua Singapura dan New Zealand.

"Kerjasama antarabangsa sedemikian jelas akan memberi manfaat kepada industri, penyelidik dan pelajar kita dengan mendedahkan mereka kepada amalan terbaik, teknik dan teknologi yang telah dibangunkan negara masing-masing," kata Profesor Chua.

"Syarikat start-up dan firma kecil dan sederhana (SME) sering menghadapi hambatan seperti kekurangan kemudahan, peralatan yang mahal, kos peluang yang tinggi dan syarat tempahan minimum yang tinggi daripada pengilang penyumberan luar apabila mengkomersialkan produk baru selepas R&D. Bagi syarikat lebih besar dan syarikat berbilang negara (MNC), sukar bagi mereka menghentikan sahaja alur pengeluaran sedia ada untuk menguji produk baru. Oleh itu, pelancaran FoodPlant hari ini akan memberi rangsangan penting kepada landskap inovasi makanan kita." - Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.