SINGAPURA dan Australia telah sepakat untuk membolehkan penerbangan bebas kuarantin yang dijangka bermula November ini, dengan pelan gelembung perjalanan antara kedua-dua negara dijadual siap minggu depan.

Ini merupakan destinasi terbaru buat Singapura bagi senarai penerbangan bebas kuarantin sedia ada, sedang republik ini membuka semula sempadan secara beransur-ansur dan dengan selamat.

Gelembung perjalanan antara dua negara itu, khusus bagi pelawat yang diberi vaksin sepenuhnya, mungkin bermula menjelang 23 November, namun awalnya melibatkan pelajar antarabangsa dan peniaga. Pelancong mungkin dibenarkan mulai Disember.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong berkata, beliau berasa gembira dengan langkah Australia membenarkan pemegang visa dari Singapura masuk negara itu - selepas Perdana Menteri Australia, Encik Scott Morrison, mengumumkan rancangan gelembung perjalanan dua negara itu kepada wartawan di negaranya semalam.

"Saya telah menggalakkan beliau berbuat demikian semasa beliau mengunjungi Singapura pada Jun. Singapura dan Australia mempunyai hubungan ekonomi dan pelaburan yang kuat, dan hubungan mesra dalam kalangan penduduknya.

"Kita sedang menanti untuk meneruskan hubungan erat antara negara , sedang kita menuju ke arah masa depan Covid yang endemik," jelasnya dalam satu pos di Facebook.

Dalam mengumumkan rancangan gelembung perjalanan itu sebelumnya, Encik Morrison berkata kededua negara itu berada pada tahap akhir untuk melengkapkan perjanjian tersebut.

"Kami menjangka ia dapat dicapai pada minggu depan atau dalam tempoh itu, dan kami akan menerima lebih ramai pemegang kelas visa yang keluar dari Singapura... kami akan membuka (sempadan)," katanya kepada wartawan.

Mengulas mengenai hal itu, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, berkata dua negara itu merupakan rakan negara dengan hubungan kukuh dalam banyak bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan hubungan antara penduduk.

"Sebelum Covid-19, ramai rakyat Singapura melawat Australia bagi tujuan perniagaan, bercuti dan melanjutkan pelajaran, dan begitu juga sebaliknya buat rakyat Australia.

"Kami gembira bekerjasama dengan Australia untuk beransur-ansur membina semula perjalanan antara dua negara ini. Harap dapat memberi lebih perincian tidak lama lagi," ujarnya dalam satu catatan di Facebook.

Sementara itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) semalam mengumumkan pihaknya akan meningkatkan kapasitinya ke Sydney dengan pesawat Airbus A380 yang bakal terbang semula ke bandar Australia itu pada 1 Disember.

"Dengan pembukaan semula sempadan New South Wales dan Australia mulai 1 November, pesawat A380 akan membantu lebih ramai lagi warga Australia yang berharap dapat bertemu semula dengan orang tersayang menjelang musim Krismas," ujar naib presiden serantau SIA, Encik Louis Arul, dalam kenyataannya.

SIA juga menyambut baik pengumuman pihak berkuasa negeri Victoria mengenai rancangan membuka semula sempadan antarabangsa negeri itu kepada golongan pengunjung yang layak mulai 1 November.

Untuk menyokong kepulangan lebih ramai warga Australia dan golongan pengunjung lain yang layak, SIA membuka jualan tiket penerbangan antara Singapura dengan Melbourne mulai semalam.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas, semalam pula mengatakan penerbangannya ke Singapura akan disambung semula pada 23 November, dengan tiga penerbangan A330 seminggu.

Penerbangan harian akan disambung semula mulai 18 Disember.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti