SAN FRANCISCO: Daripada enam juta penduduk di Singapura, lebih 1.3 juta menggunakan pengekodan untuk menyelesaikan isu teknologi.
Menurut platform pembangunan GitHub, sebuah syarikat sofwe, jumlah itu adalah antara yang terpantas berkembang di seluruh dunia, pada kadar 28 peratus dalam 12 bulan hingga September 2024.
Didorong usaha pemerintah untuk melatih pekerja dan pelajar tempatan dalam kecerdasan buatan (AI), masyarakat pengekod Singapura juga telah mencapai tahap yang lebih tinggi.
Ia menduduki tempat kesembilan di dunia bagi penyumbang yang membangunkan perisian untuk kes AI dalam tempoh yang sama, lapor The Straits Times.
Lebih 9,700 pengekod di sini menyumbang kepada projek AI di platform sumber terbuka, di mana kod tersedia untuk dilihat, diubah suai dan diedar oleh pengguna.
GitHub berkata dalam laporan tahunan Octoversenya: “Pada 2024, terdapat lonjakan 59 peratus dalam jumlah sumbangan kepada projek AI generatif di GitHub dan peningkatan 98 peratus dalam jumlah projek keseluruhan.
“Kebanyakan sumbangan tersebut datang dari negara seperti India, Jerman, Jepun, dan Singapura.”
Penemuan itu, berdasarkan pengguna GitHub yang log masuk dari Singapura, diumumkan semasa persidangan GitHub Universe di San Francisco, Amerika Syarikat, yang dihadiri oleh 3,000 peserta pada 29 dan 30 Oktober.
Pada persidangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GitHub, Encik Thomas Dohmke, dan penceramah lain memperkenalkan alat dan ciri AI baru, termasuk pilihan model bahasa daripada Anthropic, Google, dan OpenAI untuk digunakan dalam GitHub Copilot, pembantu pengekodan platform AI.
Encik Dohmke, yang juga seorang pembangun, melancarkan perintis untuk GitHub Spark, iaitu alat AI yang membuat aplikasi web dengan arahan bahasa semula jadi.
Beliau menunjukkan alat baru itu dengan membina permainan tic-tac-toe dalam beberapa minit. Dengan pengekodan bahasa semula jadi, ekonomi teknologi kini akan lebih meningkat, tambahnya.
GitHub, yang mempunyai lebih 100 juta pengguna, kian menghampiri visinya untuk meraih satu bilion pengguna seawal 2030 melalui Spark, dengan lebih ramai penutur bukan berbahasa Inggeris menggunakan alat AI generatif berbilang bahasa untuk pengekodan.
Naib Presiden GitHub bagi Asia-Pasifik, Cik Sharryn Napier, berkata di Singapura, tempat kira-kira satu daripada empat orang adalah pengguna GitHub, pertumbuhan masih berterusan apabila lebih ramai individu mula belajar mengekod.
Syarikat sekarang semakin mencari kemahiran AI ketika mengambil pemaju perisian, tambahnya.
Apabila ditanya sama ada ia boleh menyebabkan syarikat mengambil lebih ramai warga Singapura sebagai pembangun, beliau berkata:
“Itu salah satu perkara yang kami lihat sebagai perubahan besar, cara sumber diperoleh dan cara orang mengusahakan projek.”
Tiada rancangan menaikkan bayaran bagi alat tambahan itu, kata Encik Dohmke.
Individu hanya membayar AS$10 ($13) sebulan, atau $100 setahun, manakala perniagaan membayar AS$19 atau AS$39 untuk ciri tambahan atau penyesuaian.
GitHub adalah percuma untuk pelajar, guru dan penyelenggara bagi projek sumber terbuka popular.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg