Belia mempunyai peranan penting dalam perjalanan kemampanan Singapura dan usaha memerangi perubahan iklim, kata Menteri Kemampanan dan Persekitaran, Cik Grace Fu.
Beliau berkata inisiatif yang diketuai pemerintah, perniagaan dan organisasi masyarakat menyediakan belia dengan sumber, bimbingan dan persekitaran kondusif.
Ini dapat memberikan mereka kepentingan dalam masa depan, memperjuangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka.
Akur bahawa belia sangat terlibat dalam usaha menangani perubahan iklim, Cik Fu, yang berucap di Simposium Mendaki 2024, ‘Aspiring Futures: Bridging Dreams to Actions’, di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands pada 10 Julai, berkata:
“Saya tahu ia kedengaran agak menakutkan atau anda mungkin tidak tahu di mana harus bermula, tetapi ada yang telah memulakan usaha ini sebelum anda.”
Menyentuh peranan anak muda dalam usaha tersebut, beliau mengetengahkan beberapa inisiatif yang sudah dilakukan sebelum ini.
Misalnya, Program Pembangunan Belia Iklim (CYPD) yang diketuai bersama Kementerian Kemampanan dan Persekitaran (MSE), Sekretariat Perubahan Iklim Nasional dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) yang ditubuhkan pada Julai 2023 bagi mengukuhkan kerjasama dengan belia dalam memajukan tindakan iklim untuk pembangunan mampan.
“Melalui program itu yang julung kali diadakan pada 2023, 40 belia berpeluang mengembangkan pengetahuan, set kemahiran dan rangkaian mereka untuk menyumbang kepada usaha kemampanan Singapura melalui perbualan dengan penyokong perubahan iklim, penggubal dasar dan acara berkaitan,” kata Cik Fu.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga telah melancarkan program pemimpin Belia untuk Kelestarian Alam Sekitar, atau YES, dalam usaha menyatukan rakan kerja dari sektor masyarakat, awam dan swasta bagi menangani isu persekitaran melalui penyelesaian dan kerjasama inovatif.
Dilancarkan pada 2023, program itu menawarkan pemimpin belia peluang unik untuk menyalurkan semangat mereka terhadap alam sekitar ke dalam projek dengan impak yang bermakna.
Cik Fu turut mengetengahkan projek ‘Youth Eco Action’ yang dilakukan bersama Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) untuk meningkatkan pengetahuan tentang kelestarian alam sekitar dalam kalangan belia.
“Saya menggalakkan belia yang berminat untuk mengusahakan inisiatif alam sekitar tampil dan memohon bagi Dana Eco SG untuk melaksanakan projek anda.
“Kami juga telah bekerjasama dengan MOE (Kementerian Pendidikan)... untuk melibatkan golongan belia supaya mereka lebih memahami konteks dan pertimbangan dasar Singapura,” tambah Cik Fu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg