Seramai 86 orang telah didenda atau didakwa di mahkamah atas kesalahan menyewakan rumah privet atau flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka secara haram untuk penginapan jangka pendek kurang dari tiga bulan sejak 2019.
Demikian dinyatakan oleh HDB dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan bersama pada 3 Julai.
Dalam kalangan mereka yang didenda atau didakwa, seramai 64 orang didenda, manakala 15 didakwa di mahkamah atas kesalahan menyewakan rumah privet mereka secara haram bagi penginapan singkat kurang dari tiga bulan.
Tujuh orang turut didenda kerana menyewa flat HDB mereka kurang dari enam bulan.
Dalam kenyataan tersebut, HDB dan URA memberi amaran kepada orang ramai terhadap penyewaan jangka pendek yang tidak dibenarkan, serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan ketat terhadap pesalah.
Tempoh Penginapan Minimum (MOP) ialah tiga bulan berturut-turut untuk rumah privet dan enam bulan bagi flat HDB.
Kenyataan dikeluarkan susulan laporan CNA pada Jun, yang mendapati bahawa unit kondominium dan flat HDB ditawarkan untuk sewa jangka pendek di wadah Airbnb, dengan sesetengahnya mendakwa menawarkan apartmen servis yang dibenarkan.
Apartmen servis mempunyai keperluan penginapan sekurang-kurangnya tujuh hari.
Laporan tersebut berkata terdapat lebih 15 penyenaraian sedemikian di Airbnb di kawasan seperti Geylang, Katong dan Bukit Timah.
Terdapat juga beberapa penyenaraian yang kekal aktif selama berbulan lamanya, dan satu mempunyai ulasan secara dalam talian daripada tetamu sebelum ini.
Pihak berkuasa berkata mereka akan menyiasat semua kes disyaki penginapan jangka pendek haram yang dilaporkan oleh orang ramai.
“Kami juga secara aktif menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kes yang salah, dan memantau penyenaraian di wadah dalam talian,” kata HDB dan URA.
Pesalah kali pertama yang menyewakan rumah persendirian mereka untuk penginapan jangka pendek akan didenda sehingga $5,000.
Pesalah berulang, atau mereka yang terlibat dalam operasi berskala besar, akan didenda sehingga $200,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagi penyewaan flat HDB secara haram, pesalah akan diberi amaran bertulis oleh HDB dan juga boleh didenda sehingga $50,000.
Dalam kes paling “teruk”, HDB berkata ia wajib mendapatkan semula flat tersebut.
Pihak berkuasa berkata mereka telah menggunakan beberapa wadah penyenaraian “untuk menyerlahkan peranan penting yang mereka mainkan dalam memastikan penyenaraian di platform mereka sejajar dengan undang-undang Singapura”.
Penginapan minimum tiga bulan untuk rumah privet disediakan untuk mengurangkan kekerapan kadar tukar ganti penghuni sementara, yang boleh memberi kesan negatif kepada jiran dan menjejaskan keselamatan, kata HDB dan URA.
HDB dan URA menambah tempoh sewa minimum enam bulan untuk flat HDB mengambil kira “sifat lebih padat dan ruang kosong” estet perumahan awam.
Pemilik dikehendaki tinggal di flat mereka semasa MOP, dan mereka mesti mendapatkan kelulusan HDB sebelum menyewakan bilik tidur mereka atau keseluruhan unit.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai melaporkan kes disyaki penyewaan jangka pendek haram melibatkan flat HDB dengan menghubungi talian khusus HDB di 1800-555-6370.
Bagi mereka yang melibatkan rumah privet, orang ramai boleh menghantar maklum balas di laman web URA di https://www.ura.gov.sg/feedbackWeb/contactus_feedback.jsp


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg