PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan semalam bahawa ia telah memberikan lesen pengendali perkhidmatan teksi penuh kepada HDT Singapore Taxi (HDTT).

Ini selepas percubaan dua tahun di bawah Skim Inovasi dan Pembangunan Pengangkutan yang melibatkan 100 teksi elektrik (e-teksi).

Saranan perniagaan HDTT, struktur organisasi syarikat, rekod prestasi lepas dan keupayaan kewangan telah menunjukkan daya maju perniagaan dan kemampuan syarikat untuk mengendalikan perkhidmatan teksi sepenuhnya, kata LTA dalam satu kenyataan.

HDTT dikehendaki mendaftarkan e-teksi sedia ada di bawah naungannya sebagai teksi biasa pada 31 Ogos, dan akan secara beransur-ansur meningkatkan bilangan teksi mereka kepada sekurang-kurangnya 800 e-teksi di Singapura dalam tempoh empat tahun.

Dengan bilangan 100 teksi, HDTT kini merupakan syarikat teksi terkecil di Singapura.

Harga permulaan tambang ialah $3.90.

Menurut statistik LTA, jumlah teksi di Singapura ialah 23,140 sehingga 31 Disember 2017.

Pemimpin pasaran ComfortDelGro mempunyai 13,244 teksi, menjadikannya syarikat teksi terbesar.

Sebagai sebahagian daripada operasinya, HDTT perlu memastikan terdapat cukup stesen mengecas di serata pulau untuk menyokong teksinya.

HDTT juga harus mematuhi piawaian ketersediaan teksi dan mutu perkhidmatan.

Dengan kemasukan HDTT, terdapat tujuh pengendali teksi di Singapura, termasuk Comfort, CityCab, SMRT Taxis, Trans-Cab, Premier Taxis dan Prime Taxi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti