SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hidupnya semangat sukarela, gotong-royong

Hidupnya semangat sukarela, gotong-royong

Apr 30, 2021 | 5:30 AM

Hidupnya semangat sukarela, gotong-royong

MEREKA tidak pernah sesekali mengharapkan apa-apa bayaran untuk meluangkan waktu dan tenaga kepada masjid.

Ini kerana matlamat utama Encik Ali Peri dan Encik Suhaimi A. Jalil sebagai sukarelawan hanyalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan semata-mata kerana Allah swt.

Keaktifan Encik Ali, Encik Suhaimi dan ramai lagi sukarelawan seperti mereka turut dipuji oleh Masjid Al-Amin.

Mereka semua adalah sukarelawan Muslimin dan Muslimat yang sering menggembleng tenaga dan bergotong-royong membantu melancarkan kegiatan-kegiatan masjid sepanjang tahun.

Tidak sekadar itu, Encik Ali, Encik Suhaimi dan para sukarelawan Muslimin yang lain turut memainkan peranan sebagai jawatankuasa sukarelawan pada setiap Jumaat untuk menyambut jemaah solat jumaat sebanyak tiga sesi dan tiga zon yang disediakan.

Dalam menyambut kehadiran jemaah, para sukarelawan Masjid Al-Amin turut digalak mengamalkan sikap mesra dalam menyambut ketibaan para jemaah dengan amalan budaya 5S iaitu senyum, salam, sapa, sopan dan santun.

Encik Ali merupakan pegawai polis pencen yang sangat berpengalaman.

Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis, beliau mendekatkan diri sepenuh masa dengan aktiviti masjid dan menjadi sukarelawan yang sangat berdedikasi di Masjid Al-Amin.

Ketika dihubungi, Encik Ali memberitahu pada awal kedatangan beliau di Masjid Al-Amin, beliau sangat tertarik dengan layanan mesra yang diberikan oleh staf dan kakitangan masjid.

Perasaan dialu-alukan itu membuatkan beliau berminat untuk menjadi sukarelawan.

Kata Encik Ali:

"Apabila masjid memerlukan sukarelawan, saya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada tenaga masjid. Sekiranya ada apa-apa majlis besar seperti syarahan, maulid atau kuliah bulanan, saya akan segera datang berkhidmat.

"Saya bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid untuk lakukan perkara-perkara yang diperlukan bagi menjayakan sesebuah program.

"Pada Ramadan kali ini, saya dan teman sukarelawan yang lain telah diberi tugasan agar memastikan jemaah yang hadir ke masjid mengikuti segala langkah keselamatan masjid yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan sebagainya."

Salah seorang teman sukarelawan Encik Ali yang turut berkhidmat di Masjid Al-Amin iaitu Encik Suhaimi turut berkongsi pengalamannya:

"Masjid Al-Amin sudah menjadi seperti rumah kedua saya. Kalau sehari saya tidak ke masjid untuk mencurahkan tenaga dan bakti, saya sendiri rasa seperti sesuatu yang kurang atau janggal.

"Sebelum saya memulakan tugas harian saya sebagai pemandu teksi, saya akan mulakan hari pada awal subuh dengan menghadirkan diri di masjid dan membantu petugas, saya akan membuka pintu-pintu masjid dan suis lampu serta kipas, sebelum mula solat."

Menurut Encik Suhaimi lagi, beliau juga akan cuba sedaya upaya memandu teksi untuk kembali ke masjid Al-Amin pada waktu rehat dan membantu seperti persiapan tugas imam dan bilal pada bila-bila waktu yang masjid perlukan.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah swt kerana dikurnia kelapangan masa untuk berbakti di rumah-Nya. Semua ini juga berkat dorongan dan sokongan ahli keluarga yang sentiasa memahami hasrat saya untuk berbakti.

"Kini, keadaan masjid semakin usang dan kian banyak kerosakan yang sangat perlu diperbaiki dan dinaik taraf .

"Ini termasuk karpet di dewan solat, bumbung, sistem elektrik, tambahan ruangan kelas untuk pembelajaran madrasah, pembaikan pada struktur sekeliling masjid dan pelbagai lagi.

"Oleh itu, dengan penuh rendah hati, saya ingin merayu agar masyarakat Islam Singapura dapat tampil membantu Masjid Al-Amin mencapai niat murni mengumpulkan dana sebanyak $3 juta bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf masjid yang sudah berusia 30 tahun ini.

" Marilah menyokong usaha peningkatan Masjid Al-Amin untuk ruangan lebih baik dan selesa," kata Encik Suhaimi.

CARA MENYUMBANG

- Pemindahan wang ke akaun semasa DBS dengan nombor 012-009859-6 atau Paynow UEN No: S91MQ0008B001.

- Derma secara langsung ke masjid (waktu pejabat) atau dari rumah boleh dilakukan dengan menghubungi 62725309.

- Sila lungsuri https:/alaminmosque.mimbar.sg/organization/168?p=infaq untuk menghulurkan infak atau wakaf untuk Masjid Al-Amin.

- Kunjungi reruai Masjid Al-Amin di Wisma Geylang Serai dari 12 April hingga 12 Mei 2021.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg