Topik diikuti
Pergi ke BHkuHingga 10 mangsa 'hilang' $70,000 akibat pancingan data
Hingga 10 mangsa 'hilang' $70,000 akibat pancingan data
SEKURANG-KURANGNYA 10 orang mengalami kerugian $70,000 sepanjang bulan ini selepas menjadi mangsa penipuan pancingan data. Pasukan Polis Singapura, dalam kenyataannya semalam, menyatakan pihaknya mendapati jumlah penipuan pancingan data semakin meningkat.
Penipu didapati menyamar sebagai kakitangan bank dan menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon atau mesej khidmat pesanan ringkas (SMS). Mangsa akan dimaklumkan mengenai 'masalah' ke atas kad bank mereka.
Si penyamar kemudian meminta maklumat bank daripada mangsa untuk membantu menyelesaikannya. Setelah memberi maklumat akaun bank mereka, mangsa akan menerima kata laluan sekali masuk dan kata laluan itu akan diminta oleh si penipu.
Satu lagi senario adalah apabila mangsa menerima SMS yang menyatakan kad kredit atau debit mereka mempunyai masalah dan mereka harus menghubungi nombor yang tertera di mesej itu untuk bantuan lanjut.
Apabila dihubungi mangsa, penipu yang menyamar sebagai kakitangan bank berpura-pura dapat menghuraikan masalah yang dihadapi itu. Penipu kemudian akan memperdaya mangsa untuk memberikan maklumat akaun bank, butiran kad kredit atau debit serta kata laluan sekali masuk.
Mangsa hanya menyedari mereka telah tertipu setelah mendapati transaksi tanpa kebenaran berlaku pada kad kredit atau debit mereka.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak memberikan maklumat peribadi kepada pemanggil yang tidak diketahui. Selain itu, orang ramai juga harus sentiasa mendapatkan kesahihan melalui laman web atau sumber yang rasmi.
Mereka harus membuat laporan jika terdapat sebarang caj kad kredit atau debit akibat penipuan dan membatalkan kad mereka dengan serta-merta.
Jika sesiapa mempunyai maklumat berkaitan penipuan sedemikian, sila hubungi talian polis di 1800-255-0000 atau lapor dalam talian di laman police.gov.sg/iwitness.
Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, sila kunjungi laman scamalert.sg atau hubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688.