Pemerintah kekal terbuka kepada cadangan daripada syarikat asing atau tempatan, selagi Income boleh menjadi syarikat yang lebih kukuh dan mampu berkhidmat kepada pemegang polisinya dengan baik dan memenuhi misi sosialnya dengan berkesan, kata Menteri Kedua Kewangan Encik Chee Hong Tat.
Bercakap di Parlimen pada 16 Oktober semasa perbahasan Rang Undang-Undang Insurans (Pindaan), Encik Chee berkata walaupun cadangan perjanjian semasa antara Allianz dan Income telah disekat, perniagaan juga harus diberi peluang untuk menangani dan membetulkan draf rancangan sebelum keputusan muktamad atau campur tangan dibuat.
“Meskipun pemerintah telah memutuskan bahawa transaksi tersebut, dalam bentuk semasa, tidak dapat diteruskan kerana ia tidak menjaga kepentingan awam, .. kami kekal terbuka untuk NTUC Enterprise untuk membuat perjanjian baru, sama ada dengan Allianz atau entiti lain, yang boleh menangani kebimbangan MCCY,” kata Encik Chee, yang juga Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Pada 14 Oktober, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong telah mengumumkan di Parlimen bahawa cadangan perjanjian antara Allianz dan Income terpaksa dibatalkan dalam bentuk semasa.
Ini, katanya, disebabkan keprihatinan terhadap struktur perjanjian dan keupayaan Income untuk meneruskan misi sosialnya.
Encik Chee menambah MAS mempunyai keperluan kawal selia dan panduan untuk penanggung insurans mengekalkan rizab modal yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan pemegang polisi.
Ini termasuk di bawah keadaan buruk, dan untuk penanggung insurans mempunyai rangka kerja pengurusan risiko yang mantap. Sebagai penanggung insurans, Income terus memenuhi keperluan ini, kata Encik Chee.
Sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) tentang kesan undang-undang itu ke atas perjanjian perdagangan bebas sedia ada untuk aktiviti dalam sektor perkhidmatan kewangan, Encik Chee berkata langkah itu tidak memberi kesan kepada perjanjian perdagangan bebas Singapura.
“Kami tidak mempunyai keprihatinan mengenai kesesuaian Allianz untuk menjadi pemegang saham majoriti Income.
“Keprihatinan kami terletak pada terma dan struktur perjanjian khusus ini, dan keprihatinan sedemikian akan wujud sama ada pemeroleh adalah Allianz atau mana-mana entiti lain, dan sama ada pemeroleh itu tempatan atau asing,” kata Encik Chee.
Semasa perbahasan, Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, turut bercakap berikutan soalan beberapa AP sama ada Jawatankuasa Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dimaklumkan mengenai pengurangan modal susulan transaksi tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pusat NTUC telah diberi taklimat oleh NTUC Enterprise dan Income mengenai keperluan strategik untuk perjanjian itu tetapi mereka tidak mengetengahkan kepada Jawatankuasa Pusat rancangan pengurangan modal.
“Jawatankuasa Pusat dan saya sendiri hanya mengetahui perkara ini pada Isnin (14 Oktober) di apabila Encik Tong mengumumkannya di Parlimen.
“Seperti yang saya sedar sekarang daripada penjelasan dengan NTUC Enterprise dan Income, Income sebagai syarikat awam tidak tersenarai perlu mematuhi tanggungjawab undang-undang untuk tidak mendedahkan maklumat sensitif komersial mengenai rancangan Allianz selepas pengambilalihan.
“Oleh kerana sebagai syarikat awam tidak tersenarai, Income tertakluk kepada Kod Singapura mengenai Pengambilalihan dan Penggabungan,” kata Encik Tan.
Beliau menambah bahawa NTUC telah menyemak perkara itu dan menerima pertimbangan dan keputusan pemerintah untuk menyekat transaksi yang dicadangkan dalam bentuk semasanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg