Topik diikuti
Pergi ke BHkuHPB dapat CEO baru 1 Julai
HPB dapat CEO baru 1 Julai
HPB dapat CEO baru 1 Julai
LEMBAGA Penggalakan Kesihatan (HPB) bakal mendapat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru 1 Julai ini.
Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan HPB semalam, Pengarah Kanan (Belia) di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Tay Choon Hong, telah dilantik dan akan menggantikan Encik Koh Peng Keng, CEO sementara HPB.
Encik Koh, yang menggantikan mantan CEO HPB, Encik Zee Yoong Kang, April lalu, akan teruskan peranannya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di lembaga itu selepas peralihan jawatannya kepada Encik Tay.
Encik Tay, yang juga Timbalan Ketua Eksekutif Kebangsaan Majlis Belia (NYC), telah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah HPB sejak April 2018.
Semasa bertugas di MCCY, Encik Tay telah bantu memacu aliran kerja utama di bawah Pelan Tindakan Belia SG untuk melaksanakan program penyertaan sivik kebangsaan dan mengawasi usaha seluruh pemerintah yang berkaitan dengan belia di sepanjang domain pekerjaan utama dan masa depan kerja, serta kelestarian alam sekitar.
Di NYC pula, beliau mengetuai konsep Cabaran Tindakan Belia, sebuah program pembangunan belia bagi mengubah idea mereka kepada projek konkrit bagi perubahan masyarakat yang positif.
Sebelum pelantikannya di MCCY dan NYC, Encik Tay telah memegang pelbagai jawatan penting di perkhidmatan awam.
Ini termasuk menjadi Pengarah (Pejabat Transformasi) dan Pengarah (Detik-detik Kehidupan (Keluarga) di Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD); serta Pengarah (Dasar & Perancangan) dan Pengarah (Dasar Perkahwinan & Keibubapaan) di Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).
