Sejak kecil, Encik Farid (bukan nama sebenar) dikenali dalam keluarganya sebagai seorang yang suka bergurau dan mengusik orang di sekelilingnya.

Perwatakannya yang ceria itu kekal sehingga dewasa.

Namun, di sebalik gurauan tersebut, ibunya, Cik Mariam (bukan nama sebenar), tahu ada satu sisi anaknya yang mungkin tidak dapat dilihat orang lain.

“Dari kecil lagi, Farid memang suka bergurau.

“Beliau suka lakukan ‘prank’ dengan kita semua dan buat kita sekeluarga ketawa sehingga beliau besar,” kata Cik Mariam yang berusia dalam 50-an tahun.

Namun, Encik Farid telah bergelut dengan masalah kesihatan mental sejak remaja selepas didiagnosis dengan gangguan bipolar dan kemurungan menyusuli percubaan membunuh diri buat kali pertama ketika di sekolah menengah.

Perjuangan itu berterusan sehingga Encik Farid meninggal dunia akibat bunuh diri pada usia 30 tahun pada 2023.

Cik Mariam, ibu empat anak, berkongsi pengalamannya sebagai penjaga dalam satu episod podcast NoTapis, sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, pada 10 September 2026.

Bagi Cik Mariam, pengalamannya menjaga anggota keluarga yang berdepan masalah kesihatan mental bukan sesuatu yang bermula atau berakhir dengan Encik Farid.

Ketika anaknya yang merupakan anak sulung empat beradik itu mula menunjukkan perubahan sewaktu remaja, Cik Mariam sendiri pada mulanya menyangka ia sekadar sebahagian daripada proses membesar.

“Ketika itu saya fikirkan beliau hanya ‘moody’ atau murung sebagai anak remaja.

“Seperti biasa anak remaja lain pun tidak suka meluahkan perasaan kepada ibu bapa dan suka sorok di dalam bilik.

“Tetapi apabila beliau bersama dengan rakan-rakannya, beliau tidak ada masalah,” cerita Cik Mariam.

Di sebalik keadaan kesihatan mentalnya, Encik Farid masih mempunyai harapan dan impian bagi masa depannya.

Antaranya, beliau mahu kembali bekerja dan mengumpul wang bagi membolehkan ibunya menunaikan ibadah haji.

“Sampai di akhir hayatnya, beliau masih bercita-cita kumpul duit untuk saya pergi haji.

“Katanya nanti apabila beliau sudah bekerja, nak kumpul duit supaya mak boleh pergi haji dengan duit ni,” kata Cik Mariam sambil menyifatkan Encik Farid sebagai seorang anak yang baik.

Encik Farid meninggalkan seorang ibu, tiga orang beradik dan seorang anak perempuan.

Kehilangan Encik Farid turut memberi kesan kepada adik-beradiknya.

Cik Mariam berkata dua daripada anaknya kini mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri swasta dan sedang menunjukkan perkembangan baik.

“Alhamdulillah, anak-anak saya yang sedang bertemu pakar psikiatri dalam keadaan yang lebih baik walaupun mengalami trauma akibat apa yang telah mereka lalui,” katanya.

Trauma keluarga itu bertambah apabila bekas suami Cik Mariam, yang juga bapa Encik Farid, meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2025.

“Saya rasa trauma yang anak saya lalui menjadi berganda akibat kejadian tersebut,” katanya mengenai bekas suami yang juga menghidapi kecelaruan rasa hati atau gangguan bipolar.

Cik Mariam berkata ketika menerima berita itu, keutamaannya adalah memastikan beliau terus berada di sisi anaknya.

Namun, beliau bersyukur mereka kini dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik hasil sokongan dan rawatan yang diterima.

Menurut Cik Mariam, perjalanan keluarganya turut menunjukkan betapa mudah seseorang yang berdepan masalah kesihatan mental disalah faham, terutama apabila mereka masih mampu tersenyum, bergurau dan kelihatan seperti biasa.

Beliau berkata stigma terhadap masalah kesihatan mental masih wujud, termasuk kecenderungan mengaitkan keadaan seseorang dengan tahap keimanan mereka.

“Ada yang pernah berkongsi seseorang yang menghadapi isu kesihatan mental disebabkan mereka tak sembahyang atau selalu lupakan sembahyang,” kongsinya.

Penyelia Klinikal Kelab Heal, Cik Balqis Maricar, yang turut tampil dalam podcast itu, berkata pergolakan psikologi seseorang sememangnya tidak semestinya dapat dilihat secara luaran.

“Perkara yang mereka hadapi bukan sesuatu yang kita boleh lihat.

“Kadangkala mereka berpakaian seperti biasa, senyum dengan lebar, bekerja pun macam biasa tetapi di dalam mereka tidak seperti biasa,” jelas Cik Balqis.

Apabila perubahan itu mula kelihatan melalui tingkah laku pula, seseorang boleh dilabel sebagai “buat perangai”, “malas” atau mahu mendapatkan perhatian.

Oleh itu, Cik Balqis menggalakkan keluarga dan rakan supaya peka apabila seseorang yang biasanya ceria tiba-tiba menjadi pemarah, pendiam atau mula mengasingkan diri.

Beliau berkata mereka harus mendekati individu tersebut tanpa menghakimi dan memberi ruang untuk berkongsi.

Kata-kata mudah seperti, ‘Anda okey?’, ‘Ada apa-apa yang anda ingin kongsi? Saya di sini’ akan menawarkan ruang yang selamat bagi mereka yang memerlukan.

“Akhir kata, mereka yang mengalami isu kesihatan mental ini hanya ingin tahu yang mereka ada sokongan dan terdapat orang yang mereka boleh percaya,” ujar Cik Balqis.

TALIAN BANTUAN

Kesejahteraan Mental

  1. National Mindline: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (melalui WhatsApp)
  2. Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)
  3. Singapore Association for Mental Health: 1800-283-7019

Kaunseling

  1. Touchline: 1800-377-2252
  2. Touch Care Line (untuk penjaga): 6804-6555

Sumber dalam talian

  1. mindline.sg/fsmh
  2. eC2.sg
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti