DENGAN sekitar sejuta pasport kini hampir atau telah tamat tempohnya, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata bulan ini ia telah menerima jumlah permohonan pasport yang tidak pernah berlaku, seiring sempadan negara akan dilonggarkan.

Kira-kira 6,000 permohonan pasport diterima pihak berkuasa setiap hari, tiga kali ganda jumlah prapandemik dua tahun lalu yang menerima 2,000 permohonan setiap hari.

"Dengan kelonggaran peraturan sempadan dan implementasi Rangka Kerja Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi, ramai warga Singapura ingin melancong," kata ICA kelmarin.

"Kami minta pemahaman warga Singapura bahawa lebih masa yang diperlukan untuk proses permohonan pasport mereka."

Warga Singapura yang sudah ada rancangan melancong beberapa bulan depan ini perlu memperbaharui pasport mereka dan dinasihatkan agar menghantar permohonan mereka awal, tambah ICA.

Permohonan boleh dilakukan melalui laman ICA.

Sebaik sahaja pasport sudah siap untuk diambil, penerima akan dapat notifikasi dan mereka boleh membuat janji temu untuk mengambilnya di salah satu daripada 27 pejabat pos yang telah ditetapkan tanpa membayar yuran pengambilan tambahan.

ICA juga berkata warga Singapura yang mempunyai rancangan melancong dalam enam bulan yang akan datang tidak perlu memperbaharui pasport mereka.

Pasport Singapura bukan dokumen pengenalan diri yang wajib dan tiada penalti jika tidak memperbaharui pasport yang sudah tamat tempohnya, tambah ICA.

Lonjakan permohonan pasport seiring dengan pengumuman pembukaan sempadan Singapura minggu ini kepada pelancong yang telah divaksinasi dan perjalanan antara Singapura dan Malaysia melalui darat akan disambung semula sepenuhnya.

Mulai tengah malam 31 Mac, semua pelancong yang sudah divaksinasi sepenuhnya dan kanak-kanak berusia 12 ke bawah boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin.

Mereka juga tidak perlu mengambil penerbangan yang ditetapkan atau mengambil ujian pantas antigen (ART) dalam tempoh 24 jam setelah ketibaan.

Mulai 1 April, mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya boleh ke Malaysia melalui darat, termasuk memandu dan menaiki pengangkutan awam tanpa ujian atau kuarantin.

Ini juga tidak ada had pada bilangan pelawat harian.