Topik diikuti
Pergi ke BHkuICA rampas 400 e-rokok, 8,100 'pod' dari M'sia

ICA rampas 400 e-rokok, 8,100 'pod' dari M'sia
SEBANYAK 400 rokok elektronik (e-rokok) dan 8,100 pod isi semula dirampas pihak berkuasa dalam usaha mematahkan percubaan penyeludup membawa masuk barang-barang itu dari Malaysia melalui lori membawa buah-buahan sejuk.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata bahawa pada Sabtu lalu para pegawainya di Pusat Pemeriksaan Woodlands mengarahkan sebuah lori menjalani pemeriksaan lanjut selepas mereka melihat ada yang tidak kena dalam imej imbasan lori itu.
Mereka kemudan menjumpai e-rokok dan pod isi semula, yang dibalut dengan kerajang aluminium dan disembunyikan dalam peti di belakang lori, menurut ICA menerusi Facebook semalam.
Pemandu lori warga Malaysia dan atendannya kemudian dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
Menurut ICA, menjaga sempadan Singapura tetap menjadi keutamaannya.
"Mereka yang mempunyai niat jahat boleh menggunakan kaedah penyembunyian serupa untuk menyeludup barang ke Singapura. ICA akan terus berwaspada dan menghalang sebarang percubaan penyeludupan melalui sempadan kita," ujar ICA.
Mereka yang didapati bersalah membeli e-rokok dalam talian dan menghantarnya ke Singapura untuk kegunaan peribadi boleh didenda hingga $10,000 dan penjara hingga enam bulan.
Pada 28 Disember lalu, pegawai Kastam Singapura merampas 1,056 kotak pod e-rokok dan 247 e-vaporiser dalam serbuan di sebuah unit perindustrian Loyang.
E-rokok pod memberikan kandungan nikotin lebih tinggi kepada pengguna berbanding e-rokok konvensional.
"Mereka yang mempunyai niat jahat boleh menggunakan kaedah penyembunyian serupa untuk menyeludup barang ke Singapura. ICA akan terus berwaspada dan menghalang sebarang percubaan penyeludupan melalui sempadan kita." - Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).