Topic followed successfully
Go to BHkuIdea bangun aplikasi tawar bantuan guaman kepada mangsa keganasan diiktiraf
Idea bangun aplikasi tawar bantuan guaman kepada mangsa keganasan diiktiraf
Idea bangun aplikasi tawar bantuan guaman kepada mangsa keganasan diiktiraf
PENGALAMAN membantu keluarga mangsa keganasan semasa tempoh pemutus litar telah menyedarkan Cik Istyana Putri Ibrahim tentang lebih banyak usaha yang boleh dilakukan untuk membantu mereka.
Ini lantas mencetuskan idea pembangunan aplikasi oleh beliau dan tiga rakan pasukan lain, yang menyediakan maklumat guaman, sokongan sosial dan akses kepada khidmat perundangan kepada mereka yang berdepan dengan keganasan domestik - sebagai sebahagian daripada pertandingan hackathon anjuran bersama bank DBS dan Badan Kehakiman Singapura.
Cik Istyana, Penolong Pengarah Kanan Biro Bantuan Guaman (LAB) di bawah Kementerian Undang-undang dan rakan pasukannya - peguam, Encik Darren Chan dan Cik Geraldine Kuah serta eksekutif guaman/operasi, Cik Valerie Chua - merupakan antara enam anggota jabatan Pasukan Teknikal Guaman di LAB, yang mereka dan memantau pembangunan produk teknologi guaman untuk LAB.
Baru-baru ini, idea aplikasi mereka merangkul Anugerah Paling Boleh Dilaksana, dalam peraduan hackathon itu yang bermatlamat memupuk pemahaman lebih baik tentang keadilan sosial dan mencari cara kreatif membaiki akses terhadap kehakiman.
Pasukannya adalah di antara empat pasukan yang muncul sebagai pemenang dalam peraduan itu yang disertai hampir 40 pasukan yang terdiri daripada peguam, pakar teknologi guaman mahupun kakitangan DBS.
Menjelaskan tentang idea aplikasi itu, Cik Istyana, 33 tahun, berkata pihaknya telah memantau perkembangan Covid-19 dan menghasilkan beberapa respons untuk menolong mangsa keganasan keluarga semasa pemutus litar.
"Dengan kes sedemikian dilaporkan semakin meningkat, kami merasakan banyak lagi yang boleh dibuat untuk menolong golongan mudah terdedah ini.
"Dengan pergerakan disekat, mangsa keganasan keluarga ini kurang bebas untuk keluar mendapatkan nasihat guaman kerana pihak yang mendera mereka akan ada di rumah.
"Antara keprihatinan mereka ialah tidak tahu apa hendak dilakukan atau siapa untuk minta tolong. Lagipun, ramai mangsa ini tidak tahu bagaimana untuk mencari peguam yang baik atau dimampui untuk membantu mereka."
Dalam menghasilkan idea itu, beliau yang pernah bertugas sebagai seorang peguam di firma guaman privet selama lapan tahun, berkata masa merupakan cabaran utama untuk mereka.
Ini kerana pasukannya diberi hanya kurang tiga bulan untuk memikirkan antara lain proses rekaan, membangunkan prototaip dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, di samping tugasan harian mereka.
Cik Istyana menjelaskan aplikasi seperti itu adalah relevan dalam dunia hari ini kerana masyarakat semakin bijak teknologi, apatah lagi disebabkan pandemik, orang ramai lebih banyak berada di rumah.
"Terdapat lebih banyak kebergantungan terhadap khidmat maya... pekerja sosial yang bekerja dengan mangsa keganasan keluarga memberitahu kami mereka ghairah perkenalkan aplikasi seperti ini.
"Kami fikir aplikasi ini khususnya berguna untuk mereka yang berdepan dengan keganasan domestik yang sukar meninggalkan rumah mereka.
"Bagi yang tidak celik komputer atau selesa berbahasa Inggeris, kami merancang memanfaatkan aturan yang ada dengan persatuan pemerintah seperti Pusat Khidmat Awam di Our Tampines Hub dan bekerjasama dengan kakitangan mereka untuk membimbing pengguna memanfaatkan wadah itu," terangnya.

