PENGERUSI Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim bertemu dengan pihak polis semalam atas permintaan mereka, selepas beliau mendedahkan menerima amaran ancaman daripada Apple bahawa iPhone beliau mungkin telah mengalami "penggodaman oleh penyerang yang ditaja pemerintah".

Semasa pertemuan itu, Cik Lim memaklumkan kepada polis beliau berpuas hati dengan jawapan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam terhadap soalannya di Parlimen Jumaat lalu dan tidak mahu meneruskan perkara itu lagi, kata polis dalam satu kenyataan semalam.

"Oleh itu, beliau tidak membuat laporan polis, dan tidak memerlukan sebarang pemeriksaan forensik terhadap telefonnya.

"Dengan itu, polis menganggap perkara ini sebagai sudah selesai," kata polis.

Awal sebelum ini, polis memberitahu Cik Lim beliau boleh membuat laporan polis atau mereka boleh menjalankan pemeriksaan forensik terhadap telefonnya.

Polis berkata Sabtu lalu Encik Shanmugam mengarahkan mereka melibatkan organisasi komersial yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini untuk menjalankan pemeriksaan.

"Beliau juga mengarahkan supaya polis menyediakan proses yang selamat, boleh diaudit dan telus untuk mengendali dan memeriksa telefonnya, dari masa Cik Lim menyerahkan telefon itu, sehinggalah ia dikembalikan kepadanya," tambah polis.

Cik Lim mengemukakan dakwaan penggodaman di Parlimen pada Jumaat lalu semasa perbahasan dengan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Desmond Tan, yang menjawab soalan Encik Leon Perera (GRC Aljunied) mengenai penggunaan perisian pengintip oleh pemerintah.

Anggota Parlimen (AP) WP, Encik Perera menyoal sama ada pemerintah menggunakan perisian intip QuaDream atau teknologi pengintipan lain di Singapura.

Soalan itu berikutan laporan Reuters awal bulan ini bahawa QuaDream, yang membangun alat penggodaman telefon pintar untuk pelanggan yang merupakan pemerintah. Ia menyatakan pemerintah Singapura adalah antara pelanggan pertamanya.