SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jaga kesihatan sejak pemutus litar agar dapat jaga pesakit lebih baik

Jaga kesihatan sejak pemutus litar agar dapat jaga pesakit lebih baik

Jururawat kurangkan berat badan daripada 90kg kepada 75kg dengan pemakanan sihat, senaman 'supaya dapat beri jagaan kepada masyarakat dan pekerja asing'
Mar 20, 2021 | 5:30 AM

Jaga kesihatan sejak pemutus litar agar dapat jaga pesakit lebih baik

PANDEMIK Covid-19 mungkin menyebabkan sesetengah orang bertambah berat badan, tapi lain pula keadaannya bagi jururawat staf kanan Nadiah Erniyanti Maliki.

Wanita berusia 35 tahun itu, yang bertugas di Poliklinik Tampines, menurunkan berat badannya sebanyak 15 kilogram sejak pemutus litar jangkitan tahun lalu, dalam usaha beliau mengawal kesihatannya supaya dapat menjaga pesakitnya dengan baik.

Walaupun telah bertugas sebagai jururawat selama 16 tahun, Cik Nadiah tidak begitu mementingkan kesihatannya sebelum ini.

"Sebenarnya, saya tidak mempunyai rutin senaman peribadi," katanya kepada akhbar The Straits Times semalam.

Sebelum berlaku pandemik Covid-19, beliau jarang melakukan aktiviti dan, sebaliknya, kerap memakan manisan sekurang-kurangnya sekali setiap hari.

"Saya sangat gemar makan, jadi saya tidak menjaga pemakanan saya dengan betul," ujar Cik Nadiah, yang pernah mencapai berat badan 90 kilogram. Beliau setinggi 1.65 meter.

Cik Nadiah berkata beliau sedar sebagai petugas penjagaan kesihatan, beliau seharusnya berusaha menjaga kesihatan diri, namun ia bukan satu keutamaan buatnya.

Semuanya berubah apabila pemutus litar bermula pada 7 April tahun lalu.

Seperti petugas barisan depan lain di sektor penjagaan kesihatan, beliau mendapati tanggungjawab hariannya bertambah, dengan beliau harus melakukan tugasan tambahan seperti menjalankan ujian swab ke atas pesakit.

Beliau juga ditugaskan menyokong jawatan perubatan di dormitori pekerja asing.

Ini bermakna beliau harus memakai sut dan peralatan perlindungan peribadi (PPE), termasuk pelitup muka dan gogel, di bawah terik matahari sekitar empat jam setiap hari.

"Ada hari-hari yang saya akan berasa lebih penat, dan saya sedar saya tidak akan dapat berterusan seperti itu," ujarnya.

Beliau juga tidak mahu jatuh sakit pada saat penting apabila kes Covid-19 sedang meningkat di Singapura.

"Pada waktu itulah saya sedar bahawa sangat penting saya menjaga kesihatan diri supaya dapat memberi jagaan kepada masyarakat dan pekerja asing," kata Cik Nadiah.

Ini mendorongnya mula bersenam lebih kerap, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Walaupun prosesnya sukar, Cik Nadiah tetap meneruskannya kerana jika tidak, usahanya akan menjadi sia-sia.

Kurang setahun kemudian, cara hidup beliau sekarang sangat berbeza dan usahanya telah membuahkan hasil - beliau berjaya menurunkan berat badannya kepada 75kg.

Nasihat beliau kepada mereka yang mahu membuat perubahan ke atas hidup mereka:

"Teruskanlah dengan matlamat anda, tidak kira betapa letih anda rasakan. Anda akan merasa puas apabila dapat melakukannya."

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg