SEKTOR jualan runcit terus menghadapi kelembapan, dengan kadar jualan lebih rendah untuk Mac lalu - kemerosotan selama 14 bulan berturut-turut , menurut dapatan Jabatan Statistik Singapura (DOS) hari ini.
Jualan runcit merosot 13.3 peratus bulan lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu, serupa penurunan bagi khidmat makanan dan minuman serta kebanyakan kategori pengguna.
Tidak termasuk kenderaan bermotor, jualan runcit merosot 9.7 peratus.
Kebanyakan kategori mencatat penurunan dua angka bagi jualan, sedang penularan koronavirus memberi kesan kepada sentimen pengguna.
Jualan bagi pakaian dan alas kaki menyaksikan penurunan terbesar, 41.6 peratus, sedang jualan makanan dan arak juga merosot, sebanyak 41 peratus.
Gedung beli-belah juga mencatat kemerosotan sebanyak 38.6 peratus dan penjualan jam dan barang kemas juga terjejas, dengan jualan merosot 34.4 peratus.
Kesemua sekmen ini terjejas disebabkan penurunan belanja oleh pelancong, kata DOS.
Penjualan kenderaan bermotor merosot 28.2 peratus, diikuti dengan barangan keperluan mata dan buku, yang menyaksikan jualan menjunam 23.5 peratus.
Jualan runcit untuk kosmetik, pembersihan diri dan ubat-ubatan juga mencatat penurunan 21.9 peratus, sedang barangan untuk riadah juga merosot sebanyak 20.6 peratus.
Namun begitu, jualan di pasar raya dan pasar raya besar melonjak 35.9 peratus, disebabkan permintaan yang meningkat bagi barangan keperluan harian sedang lebih ramai duduk di rumah mematuhi arahan jarak selamat, kata Jabatan Statistik.
Kedai serbaneka dan pasar raya kecil juga mencatat peningkatan dalam jualan, sebanyak 4.7 peratus.
Bagaimanapun, khidmat makanan dan minuman jatuh 23.7 peratus, dengan kemerosotan jatuh lebih meluas merentasi semua industri disebabkan oleh perbelanjaan lebih rendah, dengan langkah jarak selamat menyebabkan pendapatan di restoran merosot.
Hasil pusing ganti bagi katerer makanan junam 58.1 peratus, sedang restoran pula menyaksikan jualan menjunam 30.3 peratus.
Jualan di kafe, pusat makan, dan beberapa tempat makan lain jatuh 14.5 peratus, sedang pendapatan restoran makanan segera menurun 2.2 peratus.
Jualan dalam talian meningkat dan untuk bulan lalu nilai jualan runcit ditaksirkan mencapai $678 juta. Daripada jumlah itu, jualan runcit dalam talian membentuk 8.5 peratus, meningkat 7.4 peratus pada Februari.
Jualan komputer dan alat telekomunikasi adalah jualan tertinggi, di mana jualan digital membentuk 41.2 peratus dari keseluruhan pendapatan untuk industri itu. - The Straits Times


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg